TIUPAN angin sehingga 14 kilometer sejam dan ombak setinggi lima meter menjadi halangan utama kepada peserta acara Cabaran Pecut Kayak hari ini, yang merupakan sebahagian daripada Cabaran Laut Antarabangsa Labuan ke-24 yang berlangsung sehingga esok.
Saingan hari ini menampilkan acara perseorangan lelaki remaja; beregu lelaki remaja; terbuka perseorangan lelaki; terbuka beregu lelaki; beregu wanita dan beregu campuran, untuk jarak 300 meter.
Iklan
Iklan
Pengerusi Penganjur Rithuan Ismail berkata, peserta hari ini berhadapan cabaran besar kerana berhadapan dengan keadaan tiupan angin, namun kami berbangga dengan semangat kesukanan serta kesungguhan yang ditunjukkan peserta ketika mengharungi perlumbaan dalam cuaca panas dan keadaan laut bergelora.
"Ia memerlukan tumpuan serta keazaman luar biasa, tetapi paling penting adalah kekuatan mental serta fizikal. Agak mengecewakan apabila terpaksa berdepan dengan keadaan cuaca sebegitu pada kejohanan kali ini, namun semua itu adalah sebahagian daripada cabaran dalam sukan ini dan para atlet perlu bersedia menghadapinya," katanya.
Beliau yang juga pemangku ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan, mengakui adalah amat mencabar bagi peserta untuk mengendalikan kayak mereka apabila angin bertiup kuat dari satu arah.
"Saya percaya mereka hanya perlu mengekalkan kedudukan kayak mereka dalam pusingan yang ditetapkan, namun dalam keadaan seperti hari ini ia adalah satu cabaran yang besar, jadi untuk itu mereka semua berhak mendapat pujian," katanya.
Penyampaian hadiah bagi pertandingan yang dibahagikan kepada pelbagai kategori itu, akan diadakan pada majlis makan malam di Plaza Berpayung di kompleks itu esok. - Bernama