Nik Zawawi nafi pandang remeh kenaikan harga barang

Iklan
Nik Muhammad Zawawi Salleh

GEORGETOWN - Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menafikan laporan yang dikeluarkan mengenai kenyataannya berhubung kenaikan harga barang.

Dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Sabtu, Nik Zawawi menafikan ada mengeluarkan kenyataan yang memandang remeh terhadap kenaikan harga barang, malah menyifatkannya sebagai fitnah.

Iklan
Iklan

"Hari ini saya sangat rasa pilu apabila ada pemberita yang tak bertanggungjawab dan tak berpegang kepada konsep dosa dan pahala dalam pekerjaan mereka.

"Isu yang mengatakan saya memandang remeh terhadap kenaikan harga barang adalah satu fitnah yang sangat besar dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh mana-mana pihak di kalangan pemimpin," katanya.

Iklan

Beliau bagaimanapun mempertahankan kenyataannya bahawa kerajaan memandang serius terhadap kenaikan harga barang di negara kita dan di dunia secara umumnya.

Dalam sidang akhbar yang diadakan pada Jumaat, selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pengeluaran Benih Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lahar Bubu, di sini, Nik Muhammad Zawawi menyatakan bahawa kerajaan akan terus mengambil pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) menangani kenaikan kos.

Iklan

Beliau berkata, selain memberi subsidi, kerajaan turut menghulurkan bantuan tunai terus kepada golongan sasar untuk membantu mereka mengatasi kenaikan kos barangan keperluan.

Justeru, kenaikan harga barang tidak sepatutnya menjadi masalah besar kepada mereka (pengguna) berbanding rakyat dari negara lain kerana keadaan mereka lebih teruk berbanding Malaysia.

Berikut adalah kenyataan penuh Nik Muhammad Zawawi mengenai perkara tersebut setelah diajukan soalan mengenai harga siling ayam yang ditetapkan kerajaan.

Soalan wartawan:

Datuk, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyatakan harga siling ayam yang ditetapkan RM9.40 terlalu tinggi untuk golongan B40, jadi Datuk boleh komen berkenaan kenyataan tersebut?

Jawapan Nik Muhammad Zawawi:

Harga ayam ini, bukan sahaja RM9 lebih, RM8 lebihpun, memberi kesan kepada B40. Tetapi kita kena ingat dan kita kena bersyukur, dalam negara kita ini, hari ini, satu-satunya negara di Asia Tenggara ini yang kerajaan mengeluarkan satu jumlah peruntukan yang besar dan kita bagi kepada golongan B40, ini subsidi atau bayaran tunai kepada mereka melalui akaun-akaun bank dan walaupun harga itu naik, tetapi kerajaan dah bagi duit, saya kira B40 pun, dia tidak menimbulkan masalah yang besar sangat berbanding dengan negara-negara lain.

Kalau kita tengok macam Sri Lanka, macam banyak lah negara-negara seolah-olah rakyat dia ni nak sampai ke satu tahap macam nak buat demonstrasi besar-besaran.

Dalam negara kita ni, kerajaan masih mempunyai kemampuan untuk membantu rakyat. Kita bagi subsidi, harga ayam masih kita kekalkan subsidi, harga telur pun mengekalkan subsidi dan kos sara hidup yang lain ini dibantu oleh pihak kerajaan dengan diberi kewangan secara tunai, yang terbaru ini, kita tambah RM100, maknanya daripada RM400 jadi RM500 kepada golongan B40 yang duduk dalam keluarga, yang berkeluarga, maknanya dapat ‘support’ daripada pihak kerajaan.

Jadi kalau kita bercakap harga ayam ini naik, harga telur naik, kita tak subsidi tu, tak adil lah, tak adil.

Kita kena sebut belaka, kena sebut belaka kerana kita kena ingat, tidak ada satu kerajaan dalam dunia ini mampu membendung harga kenaikan harga barang, tak dak (ada).

Cara yang kerajaan boleh olah, iaitu lah kerajaan bagi subsidi atau bantuan kepada pihak rakyat.

Di Amerika naik, di mana-mana naik, harga barang ini melambung naik, bukan di Malaysia saja. Ini kena ingat, satu dunia melambung naik, tidak ada siapa yang boleh tahan benda ini, cuma di Malaysia ini, Insya-ALLAH kerajaan peka dan kerajaan akan ambil inisiatif-inisiatif yang sewajarnya untuk kita bantu rakyat, Insya-ALLAH.