TFC II bangga raih tiga mata tanpa kudrat import

Iklan
Muhammad Safwan Mazlan (tiga, kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama semasa menentang Kuching City pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam Sabtu. - Foto Bernama

PENGENDALI Terengganu FC ll (TFC ll) Badrul Afzan Razali bangga dengan kejayaan anak buahnya menewaskan Kuching City FC tanpa menggunakan khidmat awang import dalam saingan Liga Premier.

Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan kualiti yang ada pada pemain tempatan terutama pemain muda yang dilihat mampu memberi cabaran serta mempamerkan persembahan memberangsangkan.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah dan terima kasih kepada pemain saya yang bermati-matian untuk mendapatkan kemenangan walaupun tanpa bantuan pemain import.

"Memang pada 20 minit pertama kita diperkuat dengan Argzim Redzovic, tetapi (beliau) terpaksa dikeluarkan kerana demam," katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu pada Jumaat.

Iklan

The Turtles berjaya menewaskan The Cats dengan jaringan tunggal oleh pemain gantian Muhammad Safwan Mazlan, sekali gus melonjakkan skuad itu ke tangga teratas liga dengan 22 mata, manakala Kuching City jatuh ke tangga keempat dengan 20 mata.

Sementara itu Penolong Pengendali Kuching City FC, Sulaiman Hussin berkata, walaupun gagal membawa pulang sebarang mata, pasukannya masih dalam landasan misi untuk menjadi dua pasukan terbaik Liga Premier, seterusnya mendapatkan slot untuk ke Liga Super musim depan. - Bernama

Iklan