KOTA BHARU - Sebuah kompleks pelbagai guna berkonsepkan hiburan sukan menggunakan elemen digital bernilai RM6 juta akan dibina di Ketereh.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kompleks seluas 23 hektar itu dijangka dibangunkan setelah rundingan selesai tahun ini.
"Pada masa ini, proses perundingan untuk pembelian tapak yang bernilai lebih kurang RM10 juta sudah berada pada peringkat akhir Julai ini.
"Setiap permainan dan persembahan kesenian akan ditambah baik serta dipersembahkan dalam elemen digital berkonsepkan pencahayaan serta sistem bunyi yang berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Seni Silat Jatuh RTM 2022 di RTM Kelantan di sini malam Sabtu.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, setakat ini kompleks dengan konsep tersebut belum ada di negara ini."Setelah siap reka bentuk saya mahu duduk bersama Exco Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri Kelantan, Datuk Md Anizam Ab Rahman untuk mendapatkan input persatuan berkaitan silat kerana mereka lebih pakar dan kita akan buat rundingan.
"Usaha ini adalah sebagai sumbangan kita untuk memelihara warisan Kelantan. Sebenarnya ia mengambil sedikit masa kerana saya mempunyai dua pilihan tempat bukan sahaja untuk pembinaan gelanggang silat, saya juga berhasrat mewujudkan perusahaan batik, kraf dan sebagainya untuk dijadikan tempat tarikan,” katanya.
Annuar berkata, kompleks yang akan dimajukan itu mempunyai beberapa kumpulan dan akan dijalankan secara berperingkat.
"Insya-ALLAH ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh Kelantan sebab saya pergi ke Sarawak saya lihat ada Sarawak Cultural Village dan saya pergi ke banyak tempat mereka ada pusat mereka dan sebagainya.
"Saya fikir Kelantan ada uniknya tetapi sebahagian kita perlu mengambil inisiatif sendiri melalui konsep-konsep penajaan dan konsep daripada penglibatan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya. - Bernama