LUMUT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berhasrat mahu mewujudkan sebuah lagi unit Pasukan Penyelamat di air (PPDA) bagi memenuhi keperluan penyelamatan di kawasan utara Perak.
Pengarahnya, Azmi Osman berkata, penempatan pasukan elit itu penting bagi memantapkan elemen menyelamat membabitkan kawasan rekreasi dan pelancongan.
"Menjadi perancangan kita hendak menambah unit PPDA di beberapa kawasan terutama di utara kerana kita hanya ada unit berkenaan di Kuala Kangsar.
"Kita bercadang untuk menambah unit ini di Selama berikutan mempunyai beberapa kawasan air terjun selain menjadi destinasi pelancongan tumpuan hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Keselamatan Aktiviti di air bagi Majlis Perasmian 'Life Saving Appliences' (LiSA) oleh Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Ahmad Izram Osman di pantai Teluk Senangin di sini pada Sabtu.
Menurutnya, keanggotaan PPDA terlatih mencukupi bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di seluruh negeri.
"Kita mempunyai 40 anggota PPDA yang ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor, Kuala Kangsar, Ipoh dan Teluk Intan.
"Sekiranya kita mempunyai kes besar memerlukan penglibatan ramai pasukan-pasukan inilah yang akan bergerak. Setakat ini operasi melibatkan pasukan itu mencukupi," katanya.
Sementara itu, Izram berkata, sebanyak 33 LiSA telah dipasang di seluruh negara sejak 2019 hingga Mei lalu, sebagai salah satu usaha untuk menyelamatkan mangsa lemas dengan cepat.
"Bilangan LiSA akan ditambah berdasarkan situasi semasa terutama di kawasan tumpuan ramai dan berisiko berlaku kejadian lemas seperti di pantai, tasik dan sungai.
"Pengunjung diminta peka dan sama-sama menjaga kotak LiSA ini agar tidak dirosakkan. Di Perak, tiga lokasi telah dipasang dan satu dilaporkan rosak disebabkan perbuatan yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Menurut beliau, pihaknya akan mengadakan lebih banyak kerjasama dengan petugas rekreasi pantai atau 'beach boy' bagi meningkatkan tahap pengawasan di kawasan pantai.
"Kita telah mengadakan kerjasama dengan 'beach boy' di Kelantan dengan mengambil mereka menjadi anggota bomba sukarela dan program sama sedang diusahakan di Terengganu sebelum dikembangkan ke negeri lain.
"Sebanyak 147 kes lemas dilaporkan dengan 68 berlaku di sungai, 37 kes di pantai diikuti tali air (20), lombong (14) dan lapan kes di air terjun dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini," katanya.