Bauksit: Perlu libatkan badan bebas

Iklan
Penguatkuasaan yang lebih tegas perlu bagi mengelak kes perlanggaran undang-undang dalam aktiviti bauksit jika ianya diteruskan.

KUANTAN - Penglibatan badan bebas melalui penubuhan badan pemantau yang diiktiraf kerajaan perlu bagi membantu dalam aspek penguatkuasaan undang-undang berkaitan bauksit dan alam sekitar.

Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman berkata, matlamat utamanya sebagai pasukan sokongan kepada agensi kerajaan yang berdepan masalah kekurangan anggota penguatkuasa serta sebagai salah satu cara melibatkan orang awam secara langsung dalam perihal penjagaan kelestarian alam sekitar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peranannya pasukan itu mungkin seperti anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan peranannya perlu diperakui kerajaan melalui peruntukan kuasa yang bersesuaian untuk menangani isu-isu berkaitan alam sekitar.

"Pasukan ini berperanan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dalam melaporkan perlanggaran had operasi atau permit, memberi maklumat kepada agensi penguatkuasa serta menyertai pemeriksaan atau operasi ke atas salah laku yang di laporkan berkaitan alam sekitar.

Iklan

"Keanggotaannya perlu melibatkan wakil badan bukan kerajaan (NGO ) yang mewakili kepentingan penduduk dalam isu setempat,” katanya.

Isu alam sekitar akibat aktiviti bauksit yang pernah berlaku pada 2014 hingga 2016 masih menghantui penduduk.

Ali Akbar berkata, pada masa sama, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan kerajaan negeri disaran agar membentangkan langkah utama yang akan di ambil dalam penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) perlombongan dan pengeksportan bauksit kepada awam melalui semua saluran media utama.

Iklan

"Ia juga perlu lebih terbuka kepada kritikan dan cadangan penambahbaikan atau pengubahsuaian jika perlu bagi memastikan kesilapan yang berlaku sebelum ini tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata, cadangan dikemukakan itu bagi mengelak isu-isu alam sekitar menjadi semakin kritikal dan meruncing selepas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit diteruskan.

"Kita bimbang, jika isu ini tidak ditangani dengan sebaiknya, Pahang akan terseret dalam ‘lingkungan kebinasaan’ akibat sikap tamak dan haloba sesetangah pihak.

"Kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang mengisytiharkan tempoh moratorium bauksit berakhir hari ini sudah pasti menghantui penduduk Kuantan.

"Mereka bimbang kemungkinan krisis pencemaran alam akibat aktiviti ini seperti yang berlaku pada 2014 hingga 2016 lalu berulang kembali,” katanya.

Menurutnya, justeru kerajaan mesti menjelaskan peruntukkan undang-undang yang akan diguna pakai dan agensi mana yang akan bertanggungjawab termasuk dalam aspek perlanggaran undang-undang jalan raya, pencemaran alam sekitar dan pelombong haram.

Sesi Pendengaran Awam SOP perlombongan bauksit akan diadakan pada 14 April ini di Dewan Jubli Perak, Sultan haji Ahmad Shah di sini.

Justeru orang ramai terutama warga daerah ini perlu mengambil kesempatan menghadiri sesi pendengaran awam berhubung penetapan SOP itu bagi membolehkan mereka membangkitkan pelbagai persoalan dan mendapat maklum balas terus menerusi sesi pendengaran yang dianjurkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) itu.