KUALA TERENGGANU - Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kenyir kembali memperkasa Grid Nasional apabila keempat-empat unit janakuasanya berjaya dimulatugaskan tiga bulan lebih awal dari perancangan asal bagi menyalurkan bekalan elektrik.
Stesen yang terpaksa dihenti tugas pada 27 Februari lalu akibat kejadian tanah runtuh berikutan hujan lebat luar biasa, beroperasi sepenuhnya pada 26 Jun 2022.
Seminggu sebelumnya iaitu pada 19 Jun, mula tugas unit 1 dan 2 janakuasa SJSM telah disempurnakan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dari Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional (NLDC) di Kompleks Ibu Pejabat TNB, di Bangsar.
Turut hadir pada sesi mula tugas ialah Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti dan Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin.
"Harapan kita agar keempat-empat unit penjanaan SJSM dengan kapasiti keseluruhan 400 MW beroperasi dalam keadaan baik dan terus memberikan manfaat kepada semua rakyat Malaysia dari segi tenaga hijau,” kata Baharin dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Kejayaan SJSM menyalurkan semula bekalan elektrik ke sistem Grid Nasional dengan lebih awal, adalah hasil usaha bersepadu warga kerja dari pelbagai Bahagian TNB serta agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah Kuala Berang, Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.
"Pencapaian ini penting untuk membolehkan stesen dapat menurunkan paras air tasik kepada yang lebih rendah sebagai persediaan untuk menerima air hujan lebih banyak pada musim monsun yang dijangka pada bulan November nanti,” kata Baharin.
SJSM apabila beroperasi kapasiti penuh mampu menyumbang secara purata 1,600 gigawattjam setahun, sekali gus menghindari pelepasan 537,600 tan carbon dioksida (CO2) jika menggunakan sumber bahan api fosil (gas), yang juga bersamaan pelepasan karbon daripada 116,869 kenderaan di jalan raya setahun.
Pada masa sama, penjanaan tenaga sebanyak itu secara hidro dapat mengelak kos bahan api dengan anggaran RM463 juta setahun jika menggunakan arang batu sebagai bahan bakar, berikutan kenaikan luar biasa harganya kesan krisis bahan api dunia susulan pandemik dan diburukkan lagi oleh perbalahan Rusia-Ukraine.
Justeru, pemulihan SJSM ini mengukuhkan kembali penjanaan tenaga hijau TNB melalui tiga skim hidroelektrik iaitu skim hidroelektrik Hulu Terengganu di Terengganu, Cameron Highlands di Pahang dan Sungai Perak di Perak.
TNB juga sedang membangunkan skim hidroelektrik keempat di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan dengan kapasiti 300MW yang dijangka mula beroperasi pada 2027.