Isu kenaikan harga: PM bidas tindakan pembangkang

Iklan
Ismail Sabri ketika hadir menyempurnakan Majlis Penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah pada Ahad. Foto Urusetia JAKM

PASIR SALAK - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas tindakan pembangkang yang mengambil kesempatan terhadap isu kenaikan harga barang dan peningkatan inflasi di negara ini.

Beliau berkata, pelbagai tuduhan dibuat terhadap kerajaan seolah-olah kerajaan berpeluk tubuh dan tidak mengambil tindakan terhadap kenaikan kos sara hidup yang meningkat ketika ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan berbelanja lebih RM70 bilion untuk memastikan beberapa barang keperluan asas tidak naik harga seperti minyak petrol RON95 dan diesel yang masih di subsidi kerajaan sebanyak RM28 bilion.

Jelas beliau, begitu juga minyak masak peket yang masih diteruskan subsidi dengan mengekalkan harga RM2.50 sepeket.

Iklan

"Hari ini pembangkang mengatakan bahawa semua subsidi ditamatkan pada 1 Julai. Subsidi apa yang ditamatkan? Subsidi terus kekal, subsidi minyak masak, kita berbelanja RM4 bilion untuk pastikan subsidi itu masih diterima oleh rakyat.

"Jadi mereka terus berbohong seolah-olah tidak ada tuhan bagi mereka. Terus berbohong dan memfitnah mengatakan satu Julai semua subsidi dibatalkan. Subsidi minyak masak dikekalkan, subsidi gas masak di rumah dikekalkan, subsidi petrol dan diesel dikekal. Tak ada apa yang ditarik balik.

Iklan

"Yang kita tak teruskan, subsidi 'one-off' minyak masak berbotol itu. Kita kata tak perlu sambung lagi kerana kita perkenalkan subsidi minyak berbotol itu waktu pandemik Covid-19 iaitu waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Itu sahaja. Sekarang ini dah tamat PKP, jadi tak perlu lagi. Itu sahaja. Tetapi mereka (pembangkang) mengatakan kita tak buat apa-apa," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah pada Ahad.

Ismail Sabri ketika hadir menyempurnakan Majlis Penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah pada Ahad. Foto Urusetia JAKM

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan ahli-ahli mesyuarat kerajaan negeri.

Mengulas lanjut Ismail berkata, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat dalam kesusahan dengan mengekalkan subsidi.

Menurutnya, jika semua harga barang diapungkan, inflasi di negara ini mungkin mencecah di antara 8 hingga 11 peratus.

"Saya sendiri membuat tinjauan rambang ke premis-premis perniagaan, ke pasar raya dan sebagainya untuk melihat sendiri dari segi kenaikan harga barang.

"Fenomena kenaikan harga barang ini tidak berlaku di Malaysia semata-mata, tetapi ini merupakan fenomena global dan Malaysia tidak terkecuali daripada fenomena ini," ujarnya.

Jelas Ismail Sabri, penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan di peringkat negeri dan daerah bagi menangani secara bersama memastikan harga barangan makanan tidak meningkat mendadak serta mengawal inflasi bagi kesejahteraan rakyat.