Bantuan Yayasan Keluarga Malaysia ringankan beban penerima

Iklan
Ismail Sabri (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia pada majlis penutup Jelajah AKM di Litar Dato Sagor pada Ahad. - Foto Bernama

PASIR SALAK - Kesusahan sebuah keluarga yang ditinggalkan ayah dan kematian ibu akibat Covid-19 mendapat perhatian Yayasan Keluarga Malaysia apabila diraikan pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato’ Sagor di sini.

Anak sulung keluarga itu, C Cristina, 30, berkata, kematian ibu tahun lepas yang sebelum ini menjadi kekuatan keluarga menyebabkan mereka hidup dalam keperitan kerana perlu berdikari dalam mencari sumber pendapatan baharu.

Iklan
Iklan

"Keluarga saya memang sangat terdesak sebab kehilangan tempat bergantung. Saya menjaga empat adik-adik yang berumur antara 10 hingga 30 tahun disebabkan ayah sudah lama tinggalkan kami manakala emak pula baru meninggal,” katanya ketika ditemui Bernama.

Keluarga itu antara beberapa penerima yang mendapat bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu menutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Perak di litar tersebut pada Ahad.

Iklan

Cristina berkata, wang bantuan sebanyak RM3,000 yang diterima itu akan digunakan untuk membeli komputer riba bagi adik lelakinya, S Dharchanamoortmyra, 11, sebagai pembakar semangat untuk menuntut ilmu dan pembelajaran.

"Saya sangat bersyukur kerana saya juga perlu menanggung suami saya yang merupakan orang kurang upaya, jadi bajet saya agak terhad untuk membeli sebuah komputer riba. Harap ini akan menjadi dorongan kepada adik saya untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu tunggal Maziana Zakaria, 43, berharap bantuan sebanyak RM5,000 yang diterima akan memberi manfaat kepada anaknya, Muhammad Syaiman Samsul Kamal, 10, untuk masa depannya.

Iklan

"Saya akan gunakan duit yang diterima itu apabila dia berpeluang untuk sambung belajar di universiti dan untuk simpanannya,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Maziana menyifatkan sumbangan itu sebagai rezeki untuk anak-anaknya selepas mereka kehilangan kasih sayang dan tempat bergantung apabila suaminya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya Februari tahun lepas.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Nurul Iman Zinun, 12, yang kehilangan ibunya akibat Covid-19 pada September tahun lepas meluahkan rasa gembira atas sumbangan ‘one-off’ yayasan itu sebanyak RM6,500.

Menurutnya, sumbangan yang diterima itu akan digunakan untuk membeli peralatan sekolah dan barangan untuk membantunya dalam melanjutkan pelajaran.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri sebab bagi bantuan ini,” katanya. - Bernama