KEDAH Darul Aman (KDA) FC turun dengan motivasi tinggi untuk memburu kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) bagi aksi pusingan kedua Piala FA 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Rabu.
Ketua pasukan Sang Kenari, Syazwan Zainon berkata, kejayaan mara ke separuh akhir Zon ASEAN Piala Asia 2022 pada Khamis lalu menjadi penyuntik semangat untuk pasukan tersebut meneruskan kecemerlangan dalam saingan Liga Malaysia.
Iklan
Iklan
Walau bagaimanapun, tugas sukar tetap menanti mereka kerana TFC muncul antara pesaing dalam liga tempatan selain dibarisi ramai pemain berkualiti termasuk dua bekas penggempur KDA FC iaitu Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.
"Saya sangat berharap dengan pencapaian yang diperoleh KDA FC di Piala AFC akan membuatkan pemain bersemangat bagi meneruskan momentum kemenangan dalam saingan Piala FA dan juga Liga Super selepas ini.
"Bagi saya dengan prestasi permainan yang kita pamerkan di Bali, ini adalah masa paling terbaik untuk layak ke pusingan seterusnya (Piala FA) tetapi kita pun tahu Terengganu bukan calang-calang pasukan kerana mereka ada pemain yang laju selain beraksi di tempat mereka," katanya
Mengulas lanjut, Syazwan juga berharap rakan-rakannya akan memanfaatkan tempoh masa beberapa hari yang ada untuk membuat persiapan rapi dan pemulihan kecergasan sebelum bertolak ke laman lawan.
Pada pusingan pertama, KDA FC bermula cemerlang selepas menumpaskan skuad Liga M3 KSR Sains FC 4-0 melalui jaringan Fayadh Zulkifli dan Ameer Azahar yang masing-masing meledak dua gol pada 12 Mac lalu.