ACC giat lobi kriket ke Sukan SEA Kemboja 2023

Iklan
Mahinda Vallipuram

MAJLIS Kriket Asia (ACC) sedang berusaha melobi kriket sebagai antara acara yang dipertandingkan di Sukan SEA ke-32 di Phnom Penh, Kemboja 2023 tahun depan.

Pengerusi Pembangunan ACC, Mahinda Vallipuram ketika dihubungi berkata, beberapa delegasi ACC baru-baru ini telah ke Kemboja untuk mengadakan lawatan sebagai merangka persediaan sebelum berlangsungnya temasya sukan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Jadi kami ke Kemboja berjumpa Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja dan kita memang berunding dengan Majlis Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) untuk memasukkan sukan kriket ke dalam Sukan SEA, kami melawat kemudahan mereka dan mencadangkan gelanggang kriket mereka bersebelahan Stadium Nasional.

"Sekarang ini kita sedang lihat persatuan kriket dari Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja Myanmar dan Filipina untuk memberikan pengesahan mengenai perkara ini, yang saya tahu minggu depan akan ada mesyuarat SEAGF di Phnom Penh," katanya.

Iklan

Mahinda yang juga bekas Presiden Persatuan Kriket Malaysia berkata, pihak ACC sedia membantu Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja untuk membangunkan kemudahan sebagai persediaan sekiranya kriket termasuk dalam senarai temasya sukan dwitahunan itu.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan, penglibatan sukan kriket ke dalam Sukan SEA merupakan langkah yang penting terutamanya bagi perkembangan atlet negara dari segi latihan selain membuka peluang lebih besar buat pasukan negara bermain di rantau Asia.

Iklan

Melihat kepada prestasi skuad kriket kebangsaan yang layak menempah tiket ke saingan Piala Asia di Bangladesh, Oktober depan, Mahinda optimis pasukan negara juga mampu menggondol pingat di Sukan SEA 2023 akan datang.

"Sekiranya kriket dimasukkan di Sukan SEA, kemungkinan besar akan ada dua format iaitu T20 lelaki dan wanita, jadi peluang untuk Malaysia nampak cerah, Malaysia memenangi tiga pingat masing-masing satu emas, perak dan gangsa pada edisi 2017 di Kuala Lumpur," katanya.

Sebelum ini, SEAGF memaklumkan Kemboja bakal mempertandingkan 40 jenis sukan termasuk seni mempertahankan diri kebangsaan tuan rumah iaitu Kun Bokator pada Sukan SEA ke-32 itu.

Sukan kriket merupakan antara sukan yang sedang menunggu keputusan daripada SEAGF untuk dimasukkan ke dalam senarai sukan yang akan dipertandingkan dan pencak silat turut berada di dalam senarai sama. - Bernama