KEJAYAAN tiga kelab Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) mara ke fasa seterusnya saingan Asia dan Asean bukti keberkesanan proses penstrukturan semula bola sepak negara terutamanya melibatkan penswastaan kelab Liga-M.
Pendapat itu disuarakan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang menyifatkan keberkesanan proses penstrukturan itu sudah mula menampakkan hasilnya dengan menjadikan Liga-M antara saingan berkualiti di rantau ini.
"Bagi saya, kejayaan kelab-kelab seperti JDT, KDA FC, KL City ini sedikit sebanyak adalah hasil proses penstrukturan semula (penswastaan) sebelum ini.
"Apabila diswastakan, kesemua pemain merupakan pemain profesional kerana mereka makan gaji dengan bermain bola sepak...mereka tidak ada pendapatan lain dan ini membuatkan mereka bermain bersungguh-sungguh.
"Apabila ini berlaku, para pemain akan saling bersaing bagi membuktikan masing-masing adalah yang terbaik dan ini sebenarnya sesuatu yang baik untuk sesebuah pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menerusi satu kenyataan media pada Sabtu menegaskan kejayaan JDT, KDA FC dan KL City melepasi saingan kumpulan menunjukkan kualiti dimiliki pasukan itu ketika ini untuk bersaing dengan kelab-kelab terkemuka luar negara.
JDT mengesahkan slot ke pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 dijadualkan berdepan kelab Jepun, Urawa Red Diamonds pada 18 Ogos.
Sementara itu, KDA FC mara ke separuh akhir Piala AFC setelah muncul juara Kumpulan G bakal berdepan kelab Liga Indonesia, PSM Makssar pada 9 Jun manakala KL City yang turut mara ke separuh akhir selaku pasukan tangga kedua terbaik Zon Asean bakal berdepan kelab Liga Vietnam, Viettel FC pada 10 Ogos.
Kejayaan JDT, KDA FC dan KL City ini juga bakal membantu menyumbang mata kepada negara ini khususnya bagi kedudukan ranking kelab AFC.
Tambah Jamal Nasir, kejayaan ketiga-tiga kelab ini seharusnya dijadikan contoh dalam kalangan kelab yang beraksi dalam saingan Liga-M.
"Ketika ini, JDT, KDA FC dan KL City sudah pun membuktikan kemampuan masing-masing di pentas Asia dan juga di peringkat Asean.
"Bagaimana dengan pasukan atau kelab lain? Seharusnya mereka juga berlumba-lumba untuk mengikut jejak langkah pasukan-pasukan ini beraksi di peringkat tertinggi. Takkanlah hanya nak beraksi di peringkat Liga Super sahaja?
"Perlu letakkan sasaran, matlamat agar kelab-kelab lain akan turut sama beraksi di pentas Asia termasuk di peringkat Asean suatu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, Jamal Nasir berkata, status Liga-M kini boleh diakui saingan berkualiti yang secara tidak langsung membantu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.
Justeru katanya, senario ini juga petanda yang baik kerana lebih ramai pemain berkualiti bakal beraksi dalam saingan Liga-M itu sendiri.
"Dengan status liga berkualiti, sudah tentulah ramai pemain berkualiti yang bakal muncul suatu hari nanti. Jadi, kehadiran pemain-pemain yang berkualiti ini nanti secara tidak langsung akan menjadikan saingan liga kita lebih menarik pada masa hadapan,” katanya.