Tiba masanya tindakan lebih tegas diambil

Iklan
Isu minyak masak peket kurang dan sukar ditemui dalam pasaran bukan perkara baharu. Gambar hiasan.

CADANGAN supaya pihak yang menyalahgunakan minyak masak bersubsidi dikenakan tindakan lebih keras termasuk disabitkan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) adalah langkah tepat.

Ia mampu membendung kegiatan penyeludupan minyak masak peket yang hanya layak dinikmati oleh rakyat Malaysia dan bukan untuk keuntungan mana-mana pihak tidak sepatutnya.

Iklan
Iklan

Menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika ini negara dan dunia berdepan dengan cabaran keselamatan makanan, mereka yang menyeleweng minyak masak peket ini mengancam keselamatan makanan negara.

Jika diajukan kepada majoriti rakyat Malaysia tentang hukuman berat wajar dikenakan kepada individu yang menyalahgunakan minyak masak subsidi ini, sudah pasti cadangan tersebut disokong sebulat suara.

Iklan

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa kerajaan memperuntukkan RM4 bilion sepanjang tahun dan subsidi minyak masak tahun ini adalah jauh lebih tinggi berbanding RM500 juta yang diperuntukkan pada 2020 serta RM2.2 bilion pada 2021.

Isu minyak masak peket kurang dan sukar ditemui dalam pasaran bukan perkara baharu. Terkini bukan hanya pengguna mengeluh sukar mendapat bekalan tetapi juga peniaga yang melahirkan kekecewaan kerana stok minyak masak peket sudah lama sukar diperoleh.

Iklan

Pada Isnin lalu, akhbar ini melaporkan tindakan tiga warganegara Nigeria menggunakan cerek serta periuk nasi elektrik untuk menyeludup keluar lebih 1,000 peket minyak masak bersubsidi satu kilogram ke negara asal mereka terbongkar apabila ditahan polis.

Pada 1 Jun lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak masak peket lebih 1 tan di perairan timur laut Pulau Kulapuan, Sabah.

Malaysia baharu sahaja membuka semula pintu sempadan negara pada April lalu selepas memasuki fasa peralihan ke endemik tetapi cubaan menyeludup minyak masak peket semakin kerap dilaporkan.

Sudah tiba masanya negara mengambil pendekatan lebih tegas dan keras kepada pihak yang mengambil hak serta mengancam keselamatan makanan negara.