Minyak masak peket 1kg banyak dijual di Selatan Thailand

Iklan
Rakyat Thailand tidak menghadapi masalah kekurangan minyak masak kerana bekalan sentiasa mencukupi. - Foto Astro Awani

SHAH ALAM - Isu kekurangan bekalan minyak masak khususnya minyak peket bersubsidi sekilogram (kg) di Kelantan difahamkan ada kaitan dengan penyeludupan minyak masak ke negara jiran.

Memetik laporan Astro Awani pada Isnin, di Selatan Thailand Khususnya di Narathiwat, Sungai Golok, Weng dan Sungai Padi didapati tidak menghadkan pembelian minyak masak peket itu.

Iklan
Iklan

Berbeza dengan keadaan di Kelantan di mana pembeli dihadkan kepada satu atau dua peket sahaja bagi setiap pembelian.

Perkara itu diakui seorang warga Thailand yang hanya mahu dikenali sebagai Abe Mat Sulaiman, memaklumkan tentang penjualan minyak masak bersubsidi yang diseludup masuk dari Kelantan dan dijual di premis perniagaan di sana.

Iklan

"Minyak masak peket pelbagai jenama dari Malaysia mudah didapati di sini, bahkan boleh dikatakan berlambak-lambak dijual di hampir banyak kedai runcit.

"Peniaga menjual dengan kadar harga 55 Bath (sekitar RM7) di pasar dan juga kedai runcit.

Iklan

"Orang sini (Thailand ) tidak ada masalah bekalan minyak masak peket ini, sebab sentiasa ada dan jarang habis stok," katanya yang tinggal di sebuah kampung di Narathiwat.

Abe Mat berkata, harga minyak masak dari Malaysia lebih murah berbanding minyak masak Thailand yang berharga 77 Bath iaitu sekitar RM10.30.

"Orang Thailand suka beli minyak masak Malaysia kerana lebih murah iaitu antara 50 dan 55 Bath untuk peket satu kilogram, berbanding minyak masak botol keluaran Thailand yang dijual dengan harga 77 Bath.

"Tiada had pembelian minyak masak Malaysia di sini, kalau nak beli 12 peket pun boleh, asal ada duit," ujarnya.

Tambahnya, minyak masak satu hingga lima kilogram jenama terkenal dari Malaysia turut dijual di Selatan Thailand.

"Bagaimanapun, harganya agak tinggi dan kurang mendapat sambutan kerana bekalannya sukar diperolehi,” jelasnya.