KUANTAN - Ibu kepada tujuh anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas 25 tuduhan menipu membabitkan tawaran pakej pembelian emas 916 ke atas empat mangsa tahun lalu dan awal tahun ini.
Tertuduh Wan Noraini Wan Abdullah 43 bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kesemua pertuduhan yang disebut secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah dan Ainis Abu Hassan Shaari.
Berdasarkan kertas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid dan Aini Adilah Muhammad Faizal, tertuduh didakwa memperdaya empat wanita melalui 20 tawaran pembelian emas 916 (Pakej E) yang menawarkan pulangan 80 gram nilai emas sehingga mendorong mangsa membuat bayaran RM11,500 hingga RM12,100 bagi setiap pakej.
Bagaimanapun, tertuduh hanya menyerah antara 19.17 hingga 40.36 gram nilai emas kepada mangsa iaitu kurang dari nilai yang dijanjikan.
Tertuduh turut didakwa menipu membabitkan lima pakej pembelian emas 916 (Pakej A) yang menawarkan pulangan 8 gram nilai emas namun nilai yang diberikan kepada mangsa juga kurang dari nilai yang dijanjikan.
Dia didakwa melalukan kesalahan itu di pejabat Gold Ventures Sungai Isap Maju 1, Jalan Gambang di sini antara September 2021 hingga Januari tahun ini.
Bagi semua tuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Mahkamah menetapkan jaminan RM72,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala 21 Julai dan 8 Ogos ditetapkan untuk sebutan semula kes tersebut untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam.