PELUMBA Ferrari, Carlos Sainz meraih kemenangan sulung dalam Formula Satu selepas pemandu berusia 27 tahun itu menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) British di kedudukan pertama.
Pada perlumbaan yang berlangsung di litar Silverstone, pemandu Sepanyol itu yang bermula dari petak pertama berjaya mengatasi pelumba Red Bull, Sergio Perez untuk melepasi garisan penamat dengan kelebihan 3.7 saat di hadapan 142,000 penonton.
Iklan
Iklan
Wira tuan rumah dan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dari Mercedes pula menduduki tempat ketiga untuk meraih rekod penamat podium ke-13 di laman sendiri, rekod yang belum pernah diraih oleh mana-mana pemandu.
"Ia sangat menakjubkan. Selepas beraksi dalam 150 perlumbaan akhirnya saya berjaya memenanginya buat kali pertama bersama Ferrari.
"Bagi saya ini merupakan hari yang hebat dan tidak akan dilupakan buat selama-lamanya. Walaupun Lewis bertanding pada perlumbaan ini namun saya berjaya tenang untuk menang aksi ini,” kata Sainz.
Bagi Hamilton pula, dia akur apabila gagal menjadi juara di laman sendiri sambil mengakui sudah memberikan yang terbaik pada perlumbaan ini.
"Saya memberikan segalanya hari ini. Saya cuba mengejar, tetapi Red Bull dan Ferrari terlalu pantas di laluan lurus," kata Hamilton.