Agong berkenan berangkat melawat Mindef

Iklan
Al-Sultan Abdullah berkenan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama dan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja ketika berangkat menghadiri lawatan rasmi ke Mindef pada Isnin. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin berkenan untuk berangkat ke Kementerian Pertahanan (Mindef) di sini bagi lawatan rasmi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada jam 11 pagi disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta panglima-panglima perkhidmatan dan pengurusan tertinggi Mindef.

Iklan
Iklan

Nyanyian lagu Negaraku kemudian dialunkan Gabungan Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja sebelum Seri Paduka menerima Tabik Hormat Diraja dan mencemar duli memeriksa perbarisan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai oleh Mejar Nurul Fauzan Md Sabri.

Seri Paduka kemudiannya mencemar duli menandatangani buku lawatan sambil disaksikan oleh Hishammuddin dan Affendi.

Iklan

Sambutan yang berlangsung hampir 30 minit itu diakhiri dengan kesudian Seri Paduka menghadiri taklimat bersama para pegawai Kementerian Pertahanan yang membincangkan pelbagai isu berkaitan.

Lawatan oleh Seri Paduka berakhir lebih tiga jam kemudian dengan sesi ramah mesra bersama kakitangan Mindef. - Bernama

Iklan