KPDNHEP, polis, ATM dikerah gempur penyelewengan minyak masak bersubsidi

Iklan
Gambar hiasan, gambar kecil: Ismail Sabri

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengerahkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP), polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggempur penyelewengan minyak masak bersubsidi dari peringkat kilang sehingga ke sempadan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan peruntukan subsidi minyak masak RM4 bilion yang disalurkan pada tahun ini bagi mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.

"Tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL), pada Isnin.

Menurutnya, perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak peket bersubsidi di dalam negara berjumlah 60,000 metrik tan sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara.

"Mesyuarat telah membuat keputusan akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak peket yang beroperasi di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, operasi itu bertujuan mendapatkan status sebenar mengenai jumlah minyak masak peket yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluaran dan pembungkusan serta maklumat lengkap penerima minyak masak bersubsidi tersebut.

"Mesyuarat juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri (KDN) bagi mengatasi masalah ini yang menyebabkan

peningkatan kos sara hidup," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan pada masa sama akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah.

"PJKM akan melibatkan kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pihak berkuasa tempatan serta diperluas ke institusi

pengajian tinggi di seluruh negara," katanya.

Ujarnya, program yang akan diterajui bersama oleh KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan itu turut dilaksanakan dalam konsep bergerak.

"Kerajaan akan turut memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran-restoran koperasi dan kafeteria serta premis jualan makanan di institusi-institusi pengajian tinggi sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan," katanya.

Tambahnya, kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia dan berusaha untuk memastikan cabaran kos sara hidup dapat dihadapi dengan sebaik mungkin.

Iklan
Iklan