KPM cari pendekatan sesuai atasi tahap literasi murid

Iklan
Mohd Radzi Md Jidin. - Foto Bernama

GENTING HIGHLANDS - Kementerian Pendidikan (KPM) dalam proses mengkaji dan mencari pendekatan kaedah pengajaran bersesuaian untuk menangani tahap penguasaan literasi yang masih rendah dalam kalangan pelajar di negara ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, langkah itu perlu diberi perhatian kerana terdapat segelintir murid masih tidak berupaya membaca dengan baik walaupun sudah memasuki sekolah menengah.

Iklan
Iklan

Katanya, isu berkenaan terdedah apabila pihaknya bertemu sendiri dengan guru sekolah menengah di lapangan bagi mendengar permasalahan murid dalam menguasai literasi.

Beliau berkata permasalahan itu bukan perkara baharu malah telah wujud sejak sebelum pandemik Covid-19.

Iklan

Justeru, kata Mohd Radzi, beliau akan berbincang dengan Ketua Pengarah Pendidikan untuk merangka pendekatan berbeza bagi membolehkan pengajaran literasi dilaksanakan dengan berkesan serta program intervensi literasi awal.

Mohd Radzi berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-29 di Institut Aminuddin Baki (IAB), di sini, pada Isnin.

Iklan

Sementara itu, Mohd Radzi, berkata pihaknya maklum tentang dakwaan terdapat guru yang terpaksa ‘menipu’ dalam memberi pemarkahan kepada murid atau pelajar semata-mata untuk memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka tercapai.

Bagaimanapun, beliau berkata masyarakat harus faham bahawa tindakan guru itu adalah satu perkara yang subjektif kerana mereka kadang-kadang berdepan dengan tekanan.

"Kita kena faham, ulasan (pemarkahan) diberikan guru itu adalah berdasarkan justifikasi mereka. Jadi untuk kita kata bahawa guru ini menipu, guru itu tidak menipu, ia merupakan satu perkara yang agak subjektif.

"Tetapi saya tidak nafikan perkara ini mungkin ada berlaku dan kita juga sedar bahawa terdapat keperluan untuk kita bergerak bersama dengan kepimpinan pendidikan bagi memahami perkara sebenarnya yang ingin kita capai daripada sistem pendidikan,” katanya. - Bernama