SHAH ALAM - Seluruh pemimpin umat Islam diseru untuk membudayakan politik kasih dan sayang serta bergerak ke arah kesatuan dan perpaduan umat.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pemimpin seharusnya mengenepikan serangan politik yang dilihat semakin galak terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Daulat Tuanku. Mengambil semangat titah nasihat Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, seluruh pemimpin umat Islam perlu bergerak ke arah kesatuan umat dan perpaduan serta membudayakan politik kasih dan sayang.
"Ketepikan serang-menyerang politik yang semakin galak di saat menghampiri PRU15. Gelar-menggelar dan label-melabel yang buruk perlu disimpan usah dijadikan senjata politik," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sultan Selangor menerusi satu kenyataan pada Isnin bertitah, baginda memandang serius gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu, terutama pemimpin politik Melayu.
Titah baginda, perbalahan dalam kalangan pemimpin politik Melayu yang dilihat begitu ketara ketika ini boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan kestabilan politik negara.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu berkata, setiap individu khususnya pemimpin perlu mengamalkan politik damai dan matang.
"Ini kerana mereka bertanggungjawab di hadapan Tuhan Rabbul Jalil. Rakyat dan pengikut akan berpedomankan perilaku para pemimpin.
"Jika kebencian politik yang didendangkan maka itulah juga dendangan pengikut. Ibarat guru kencing berdiri, maka anak murid kencing berlari,” jelasnya.