MUNGKIN ramai yang masih ingat dengan penyanyi popular era 80an, Klthsom Kader yang mempunyai suara hebat dan cukup terkenal dengan lagu, Ku Redha Sendiri dan Ku Meraguimu.
Setelah lama tidak muncul membuat persembahan berskala besar, Klthsom, 53, meluahkan rasa teruja apabila bakal beraksi di Konsert Amal Legenda 80an yang akan berlangsung di Istana Budaya (IB) pada 19 dan 20 April depan.
Menyifatkan kemunculan kali ini sebagai mengubat rindu peminat yang sering bertanyakan tentang perkembangan terbaru, penyanyi asal Johor ini mahu mengimbau kembali memori saat pernah mencipta nama suatu masa dulu.
"Masa zaman tengah naik dulu, saya sempat tampil dengan dua buah album sebelum mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi selepas mendirikan rumah tangga dan menetap di Johor.
"Kebetulan pula ketika melahirkan anak sulung, kontrak saya bersama Warner Music berakhir membuatkan saya terus fokus kepada keluarga.
"Bila anak-anak dah besar, barulah saya aktif menyanyi balik. Tapi tidaklah sampai ke Kuala Lumpur kerana saya hanya memenuhi undangan di sekitar Johor Bahru sahaja. Itu pun jadual sentiasa penuh kerana ada sahaja aktiviti di sana,” ujar Klthom.
Berkongsi persiapan menjelang konsert, kata ibu kepada dua anak ini, dia hanya melakukan beberapa aktiviti untuk mengembalikan stamina agar dapat beraksi dengan baik di pentas IB yang menjadi impian untuk membuat persembahan.
"Ramai yang tanya bagaimana saya menjaga suara dan maintain macam dulu. Sebenarnya saya tiada petua tertentu jaga suara, cuma saya sering lakukan aktiviti untuk stamina agar setiap kali menyanyi atau buat persembahan, saya tak ada masalah.
"Setiap hari pukul 6.30 pagi, saya akan melakukan aktiviti berjalan di sekitar kawasan rumah ulang-alik beberapa kali. Alhamdulillah badan sihat dan bila menyanyi pun, suara OK,” kongsinya.
Dalam pada itu, Klthsom meluahkan rasa terharu apabila masih ramai peminat yang mengingatinya malah memberikan respon yang cukup baik setiap kali dia tampil membuat persembahan.
"Walaupun ramai penyanyi baharu yang muncul silih berganti, saya rasa cukup seronok bila ada yang masih ingat lagu-lagu saya. Mungkin mereka tak cam wajah saya, tapi bila saya buka mulut dan menyanyi, barulah mereka tahu itu saya lalu ikut menyanyi sekali.
"Jadi bila dapat peluang yang julung kali beraksi di IB, tentulah saya mahu melakukan yang terbaik agar persembahan ini diingati ramai dan menjadi titik tolak untuk saya kembali aktif menyanyi,” ujarnya.
Menurut Klthsom lagi, keinginan untuk kembali aktif menyanyi selepas kemunculan program Gegar Vaganza (GV) musim pertama.
Melihat rakan-rakan seangkatannya menyertai program tersebut dan mendapat sambutan luar biasa daripada peminat, menyebabkan dia ingin melakukan perkara yang sama.
"Sejak GV muncul, saya rasa seronok dan bersemangat untuk menyanyi macam dulu balik. Lagipun ramai yang ingat saya dah tak menyanyi, malah kata susah nak menghubungi saya untuk tujuan jemputan dan sebagainya.
"Jadi saya memberanikan diri jugalah menyertai sesi uji bakat program tersebut untuk musim lepas, tapi rezeki belum menyebelahi.
"Apa pun saya selepas konsert di IB ini, orang akan tahu yang saya masih aktif menyanyi dan mahu terus menyanyi kerana itu memang minat saya semenjak kecil lagi,” tegasnya.