BANGKOK - Subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 menyumbang 50 peratus kadar jangkitan Covid-19 pada minggu lepas dan ia dijangka menjadi dominan di Thailand tidak lama lagi, kata Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan, Dr Supakit Sirilak.
Beliau berkata varian Omicron menyumbang 100 peratus kadar jangkitan sejak tujuh hari lalu dan sehingga kini, kira-kira 1,000 kes disahkan membabitkan subvarian BA.4 dan BA.5.
"Kebanyakan kes dilaporkan di Bangkok. Subvarian BA.4 dan BA.5 akan menggantikan subvarian lain secara beransur-ansur,” katanya pada sidang media pada Isnin sambil menggesa orang ramai agar tidak panik.
Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam bersiap sedia menangani peningkatan kes Covid-19 dan kluster baharu ekoran dua subvarian itu merebak dengan pantas.
Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata, Perdana Menteri turut menggesa rakyat mematuhi semua langkah pencegahan dalam usaha membendung penularan kes.
"Perdana menteri juga menggesa orang ramai untuk mendapatkan suntikan penggalak secepat mungkin,” katanya.
Thailand merekodkan 1,995 kes baharu dan 18 kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah jangkitan setakat ini mencecah 4,532,100 dan 30,718 kematian. - Bernama