BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mahu melupakan episod duka terkandas di separuh akhir Terbuka Malaysia 2022, sebalik bangkit lebih bertenaga di Malaysia Masters yang bermula pada Selasa.
Menurut Sze Fei, pasangan yang kini berada di ranking ke-12 dunia itu sedang mempersiapkan diri sepenuhnya khasnya dari segi mental dalam misi mencipta keputusan lebih positif berbanding sebelum ini.
"Apa yang sudah lepas kami sudah lupakan dan kini tumpuan lebih terarah untuk Malaysia Masters. Kami rasa perkara paling penting ketika ini adalah untuk meningkatkan lagi kekuatan mental sebab ia merupakan punca kekalahan kami sebelum ini.
"Jadi bagi memperbaiki perkara ini, kami selalu kerap berjumpa dengan jurulatih dan bertanyakan apa yang perlu dibuat bagi meningkatkan lagi mental kami untuk kejohanan ini,” kata Sze Fei ketika ditemui pada sesi latihan pada Isnin.
Pada Terbuka Malaysia 2022 sebelum ini, hasrat Sze Fei-Nur Izzuddin untuk ke perlawanan akhir tidak kesampaian apabila tewas kepada Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto, 14-21, 12-21.
Biarpun begitu, Sze Fei-Izzuddin berpeluang menebus kekalahan tersebut apabila dijadualkan menentang lawan sama pada pusingan pertama Malaysia Masters yang menyingkap tirai di Arena Axiata Bukit Jalil.
Pada masa sama, Sze Fei mengakui bukan tugas mudah untuk menewaskan Fajar Alfian-Muhamad Rian yang berada pada tahap terbaik ketika ini.
"Sejujurnya ia bukan satu tugas yang mudah untuk menewaskan mereka. Mereka bermain sangat baik dan konsisten dalam setiap permainan.
"Apa pun kami akan memberikan yang terbaik demi negara dan juga akan mengatasi kelemahan-kelemahan pada perlawanan sebelum ini,” katanya.