TGV Cinemas bersama susu Goodday bekerjasama dalam menjayakan kempen 'Sing-Along', yang akan memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.
Menurut Senior Eksekutif TGV Sing-Along, Joeanne Foo, kempen 'Sing-Along' adalah program yang diadakan sepanjang tahun 2019 di TGV Cinemas bersama susu Goodday sebagai rakan kerjasama eksklusif.
Sebagai permulaan, mereka membawakan kembali filem klasik, Beauty and the Beast 'Sing-Along', di mana setiap pembeli tiket akan berpeluang menikmati sesi hi-tea, aktiviti menarik, kejutan kemunculan istimewa dan berpeluang memenangi hadiah.
Bukan itu sahaja, pembeli tiket yang datang bersama keluarga atau pun kawan berpeluang untuk menyanyi bersama di dalam pawagam dan ia akan memberikan pengalaman yang berbeza.
"Kebiasaannya, pembeli tiket akan datang ke TGV Cinemas untuk menonton wayang tanpa mengharapkan apa-apa kejutan. Namun berbeza dengan kempen 'Sing-Along' ini, anda akan dihiburkan dengan pelbagai aktiviti menarik, sebelum, semasa dan selepas tayangan filem.
"Mengapa kami memilih filem Beauty and the Beast sebagai permulaan kerana filem ini cukup klasik dan ada sentimental value pada penonton.
"Mungkin jika dahulu, yang menonton filem animasinya masih kanak-kanak, tapi kini sudah berkeluarga dan mempunyai anak, jadi dia bawa pula anaknya untuk menonton dan mengimbau kenangan semasa kecil bersama," katanya ketika ditemui pada sesi pelancaran kempen 'Sing-Along', Sabtu lalu di TGV Cinemas One Utama, Bandar Utama.
Menerusi kempen itu, para pengunjung berpeluang menyertai sesi hi-tea, aktiviti, mengambil gambar bersama maskot Goodday, Dee Dee, merasai dan mencuba pelbagai perisa susu Goodday dan turut membawa pulang beberapa perisa susu Goodday ke rumah.
Tambahnya, filem Beauty and the Beast hanyalah satu dari lima buah filem 'sing-along' yang akan ditampilkan sepanjang tahun ini.
"Saya berharap sesiapa yang akan menyertainya nanti akan terhibur dan menyukai aktiviti yang kami anjurkan kepada pembeli tiket," ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, T. Sundaram berkata, pihak Goodday begitu mementingkan perkembangan kanak-kanak dan masa berkualiti bersama keluarga.
"Masa berharga bersama keluarga menjadi antara kunci dalam pembesaran yang baik untuk anak-anak.
"Program seumpama ini juga dilihat sebagai salah satu masa berkualiti bersama keluarga kerana anak-anak dan ibu bapa dapat mencipta kenangan manis dan menikmati masa bersama.
"Kami harap, menerusi inisiatif sebegini, kami dapat memberikan senyuman kepada keluarga atau rakan taulan yang hadir menyertai program 'Sing-Along' ini," katanya.
Tiket kempen 'Sing-Along' ini boleh didapati dengan harga RM35 untuk dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak.