GEORGETOWN- Sebanyak 19 set bubu naga yang dipercayai dipasang individu tidak bertanggungjawab dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang pada petang, Isnin.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, kesemua bubu tersebut ditemui di dua lokasi berbeza pada kedudukan 1.6 batu nautika barat daya perairan Batu Kawan antara jam 4.15 hingga 4.40 petang.
"Set bubu naga bernilai RM2,280 itu ditemui ketika rondaan dalam Op Pertiwi oleh bot ronda Maritim Pulau Pinang pada petang semalam (Isnin). Ketika rondaan, kami mengesan objek terapung yang mencurigakan di dua lokasi.
"Pemeriksaan mendapati terdapat 19 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab di dua lokasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, kesemua bubu naga yang dirampas dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.
"Penggunaan bubu naga ini diharamkan penggunaannya di laut kerana sifatnya yang tidak selektif dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.
"Pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan," katanya.
Beliau turut mengingatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.
"Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.
"Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146," katanya.