GUA MUSANG - Menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui bekas jalan balak yang sempit dan licin, serta menyusuri tebing sungai dan kawasan curam selain dilibas reranting pokok selama kira-kira dua jam ke Kampung Bering di sini, benar-benar menguji daya tahan kami yang sudah terbiasa dengan perjalanan lancar tanpa"gedebak-gedebuk” dilantun kenderaan.
Terletak kira-kira lima jam memandu dari bandar Gua Musang atau dua jam dari Kampung Kaloi, perjalanan lasak ke Kampung Bering itu bagaimanapun nyata berbaloi, khususnya buat pencinta alam sekitar, lantaran mata dihidangkan pemandangan indah Banjaran Titiwangsa yang melatari kembara kami.
Selain itu, keterujaan untuk meluangkan lima hari bersama orang Asli suku Temiar di kampung tersebut dalam ekspedisi bersama-sama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), menyebabkan penulis, dua rakan sejawatan - Aslah dan Mikhail- serta jurugambar Shahrizan dan pemandu Syukor, mengatasi rasa gementar tatkala kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki sekali-sekala tergelincir akibat jalan licin.
Panorama menakjubkan
Kampung Bering merupakan sebahagian daripada Pos Pasik, iaitu kawasan petempatan Orang Asli yang terletak kira-kira 72 kilometer dari pekan Kuala Balah, Jeli.
Didiami oleh 27 keluarga mewakili kira-kira 90 penduduk suku Temiar, boleh dikatakan Kampung Bering ini yang terletak begitu jauh di pedalaman Ulu Kelantan, masih belum"dicemari” pengaruh luar kerana lokasinya tidak tercatat dalam Google Earth, apatah lagi aplikasi navigasi Waze atau Google Map.
Ditambah lagi keadaan jalan yang tidak mesra kenderaan selain 4WD, motosikal serta kereta kompak. Kesemua itu menyebabkan amat jarang penduduknya bertemu"orang luar”. Namun begitu, ketibaan kami tetap disambut mesra.
"Selamat datang!” sapa Salim Tegiau. Tangannya pantas dihulur, bersalaman dengan kami yang masih kepenatan"digoncang” 4WD.
Salim, 45, antara penduduk yang menunggu ketibaan kami di halaman rumah mereka. Di belakang rumah-rumah kayu itu, mengalir Sungai Kenong yang menjadi nadi kehidupan mereka serta gua batu kapur, tidak ubah seperti sebuah lukisan alam yang indah. Buat seketika penulis terpaku, menghayati keindahan anugerah Tuhan itu.
"Kampung-kampung di sini memang sangat cantik, sesiapa yang pernah sampai di sini akan rasa tidak mahu balik,” suara Hafizudin Nasarudin, Pengerusi KUASA yang juga ketua ekspedisi, memecah suasana, selepas menyedari kami dipukau oleh keindahan Kampung Bering.
Kehidupan seharian
Sepanjang tiga hari dua malam di Kampung Bering bermula 12 Jun lepas, kami melibatkan diri dalam hampir semua aktiviti harian komuniti suku Temiar itu, antaranya berkebun, memungut hasil hutan dan menangkap ikan di sungai.
Tanpa bekalan air paip, penduduk bergantung sepenuhnya pada Sungai Kenong yang menjadi sumber air minum, memasak, mencuci dan lain-lain, sementara bekalan elektrik pula dijana oleh generator yang hanya beroperasi selama tiga jam saban malam.
Di sebalik kekurangan kemudahan asas itu, rata-rata penduduk nampak gembira dengan kehidupan mereka yang boleh dikatakan berkisar sekitar hutan yang menjadi 'pembekal' hampir kesemua keperluan komuniti berkenaan.
"Daripada sekecil-kecil daun hinggalah sebesar-besar dahan pokok, serta lain-lain hidupan, kesemua ini adalah sumber kami untuk meneruskan hidup. Sejak kecil kami diajar oleh ibu bapa untuk mengenali tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubat-ubatan.
"Ketika pandemik Covid-19 menular, hutanlah satu-satunya sumber kelangsungan hidup kami selain bercucuk tanam di sekitar halaman rumah, kerana penduduk kampung tidak dapat keluar untuk mendapatkan bekalan makanan," kata Diana Anjang, 36, seorang lagi penduduk.
Gangguan hidupan liar
Bercerita tentang rutin harian mereka semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Salim berkata, kehidupan mereka sepanjang tempoh itu begitu aman kerana tidak ada gangguan hidupan liar yang sebelum ini bermaharajalela memusnahkan tanaman dan kebun mereka.
"Ini kerana sepanjang tempoh itu pembalakan tidak boleh dijalankan dan kami sangat aman untuk keluar masuk hutan memungut hasil, sama ada untuk makanan, membuat perabot ataupun menjalankan upacara kepercayaan kami.
"Kaum wanita pula menguruskan anak-anak dan rumah tangga ataupun bercucuk tanam di sekeliling rumah,” kongsi Salim lagi.
Bagaimanapun menurutnya, 'keamanan' yang dinikmati mereka itu berakhir sejak awal tahun ini apabila hidupan liar kembali mengganggu.
"Tanaman kami, sama ada di halaman rumah ataupun di tepi sungai, habis dimusnahkan oleh 'orang besar' (gajah), pak belang (harimau) dan babi hutan.
"Malah, ada juga rumah orang kampung rosak akibat serangan 'orang besar' pada waktu malam, termasuk rumah saya sendiri apabila dapur dimusnahkan oleh ‘mereka’," katanya.
Menurutnya, kumpulan gajah akan berada di sekitar kawasan kampung itu sekurang-kurangnya selama dua minggu dan menjadikan gua batu kapur sebagai tempat berehat atau berkeliaran di kawasan belukar pada waktu siang.
"Pada sebelah malam, akan kedengaran bunyi tapak kakinya memasuki kawasan kampung dan esok pagi pasti kami dapati tanaman seperti ubi kayu, kacang dan pokok pisang musnah dilanyak atau dimakan oleh gajah.
"Kami percaya aktiviti pembalakan berhampiran kampung ini yang bermula pada September lepas telah menyebabkan 'orang besar' berkeliaran akibat habitat mereka musnah," katanya, mendakwa kegiatan pembalakan itu dilakukan hanya kira-kira dua kilometer dari kampung mereka.
Menurutnya lagi, bukan sekali dua tanaman dan kebun penduduk dimusnahkan oleh gajah dan hidupan liar lain, namun kehampaan tidak dapat menikmati hasil titih peluh mereka terpaksa ditelan kerana tidak ada cara untuk penduduk menangani haiwan liar tersebut.
Kebun mandiri Orang Asli
Menyedari hal itu, KUASA bekerjasama dengan penduduk kampung menjalankan Kebun Mandiri Orang Asli atau #kebunmandiriOA sejak Mac lepas - projek yang dibiayai oleh Yayasan Hasanah dan Program Geran Kecil Global Environment Facility (GEF).
Menurut Hafizudin, projek itu mampu membantu masyarakat Orang Asli yang mengalami krisis makanan ketika pandemik beroleh sumber makanan.
"Bekalan makanan daripada sumber hutan juga semakin berkurangan akibat penebangan hutan secara berleluasa di sekitar kawasan kampung mereka.
"Daripada kami memberi bantuan makanan kering kepada mereka, baik kami memperkasakan mereka untuk mengoptimumkan ladang mereka yang sedia ada menerusi latihan dan bimbingan.
"Mereka sudah ada ladang turun-temurun untuk bercucuk tanam, namun kami membantu dengan menambah variasi tanaman melalui penggunaan teknologi mampan tanpa melibatkan baja buatan kimia yang akan merosakkan biodiversiti di sekelilingnya," katanya.
Menurut Hafizudin, antara kriteria untuk menjalankan projek kebun itu ialah perkampungan terletak jauh di pedalaman, bekalan makanan terjejas teruk akibat pandemik, gangguan hidupan liar serta masalah akses ke kawasan bandar.
"Kami mengadakan perbincangan dengan penduduk kampung untuk mencapai persetujuan bersama sebelum mengkaji struktur tanah bagi mengenal pasti jenis tanaman yang sesuai untuk ladang mereka.
"Sepanjang projek itu, kami mengaplikasikan teknologi baharu untuk memastikan kebun mereka selamat daripada serangan hidupan liar, selain mengamalkan penanaman secara organik dengan tidak melibatkan baja kimia.
"Sebagai contoh, di Kampung Bering, kami memasang lampu LED di pagar dan menanam serai di sekeliling kebun bagi mengelakkan pencerobohan gajah pada waktu malam," katanya, menambah najis kelawar yang diambil dari gua berdekatan digunakan sebagai baja semula jadi.
HASIL TANAMAN UNTUK KELUARGA, KOMERSIAL
Pada hari kedua di Kampung Bering, kami berpeluang berkunjung ke #kebunmandiriOA Kampung Bering seluas 0.4 hektar yang terletak tidak jauh dari rumah penduduk.
Dilengkapi pagar yang selamat dan sistem perpaipan yang disambung dari hulu Sungai Kenong, kebun itu ditanam dengan pelbagai sayur-sayuran seperti pokok peria, timun, kacang panjang, jagung dan sawi.
Malah, ketika kunjungan kami ke kebun itu, kebetulan tanaman jagung yang diusahakan oleh 47 penduduk kampung sejak tiga bulan lepas telah sedia untuk dituai.
"Seronok sangat, pertama kali dapat menikmati hasil titik peluh kami selepas tiga bulan, daripada sekecil-kecil anak benih sehinggalah kini," Suli Anjang, 19, berkongsi pengalamannya dengan kami sambil tangan lincah memetik tongkol jagung.
Suli berkata hasil tanaman yang dituai bukan sahaja dijadikan sumber makanan penduduk Kampung Bering, tetapi juga dibawa ke bandar untuk dijual sebagai pendapatan sampingan.
"Kami mendapat bantuan daripada KUASA untuk membawa keluar hasil tanaman dan dijual kepada orang ramai. Ini sedikit-sebanyak membantu meringankan beban selain menambahkan semangat kami untuk terus berkebun," katanya.
Meskipun di wajah mereka jelas terpancar rasa gembira kerana dapat mengusahakan #kebunmandiriOA secara bergotong-royong, jauh di sudut hati mereka begitu mengharapkan agar kebun itu tidak diganggu oleh hidupan liar saban hari.
"Walaupun Kebun Mandiri kami telah 'dilindungi' oleh pagar dan ciri-ciri keselamatan, gangguan 'orang besar' masih ada di kampung kami akibat pembalakan," dakwa Salim.
"Kami sangat berharap agar tiada lagi pembangunan tidak mampan dan penebangan hutan secara besar-besaran tanpa permit kerana kami tidak mahu lagi diganggu oleh hidupan liar saban malam.
"Kami mahu tidur dengan aman," tegasnya. - Bernama