MAKKAH - Pujian Arab Saudi tentang kecekapan Malaysia dalam mengendalikan operasi haji adalah sesuatu yang amat bermakna, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Menurutnya, rekod kecemerlangan agensi itu tidak hadir begitu sahaja tetapi ia adalah usaha berterusan dengan kerjasama erat antara petugas serta jemaah haji Malaysia.
"Sangat membanggakan apabila Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Taufiq Fawzan Al-Rabiah mengungkapkannya di hadapan barisan pemimpin Islam dari pelbagai negara Islam dan menasihatkan mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh terbaik.
"Ia kebanggaan kepada kita. Panel-panel lain juga ada menyebut tentang pengurusan Malaysia dan TH. Apa (kelebihan) yang diberi kepada Malaysia oleh Arab Saudi bukan berlaku begitu sahaja tetapi mestilah berdasarkan merit dan rekod baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Simposium Perdana Haji di sini, Isnin.
Pada musim haji tahun ini, Malaysia diiktiraf sebagai negara pertama yang memperoleh permit pengoperasian hospital di Arab Saudi, menjadi negara pertama yang memilih waktu melontar serta terpilih antara lima negara dalam program Makkah Route.Sementara itu, Idris yang berucap dalam bahasa Arab sempat berkongsi tentang peranan yang dimainkan TH sejak 59 tahun lepas dan model pengurusan agensi itu.
Beliau juga menyentuh berkaitan kesiapsiagaan TH dalam memastikan kesihatan jemaah berada pada tahap terbaik, pematuhan terhadap arahan kerajaan Arab Saudi serta usaha TH dalam membangunkan aplikasi digital untuk kegunaan jemaah di Tanah Suci. - Bernama