SEREMBAN - Seramai kira-kira 60 peratus veteran tentera di negara ini dikategorikan hidup susah dan perlu dibantu.
Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Kapten (Bersara) Datuk Sharuddin Omar berkata, mereka menerima pencen di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
"Berdasarkan pencarian dilaksanakan, 95 peratus daripadanya adalah dalam kalangan lain-lain pangkat yang menerima gaji rendah.
"Jadi apabila mereka pencen termasuk dalam kategori kemiskinan. Pencen diterima oleh mereka yang berpencen sebelum 2004 ialah bawah RM1,000.
"Contoh seorang pegawai waran yang pencen pada tahun 1990 hanya mendapat pencen antara RM500 ke RM600. Macam mana pula prebet?" Katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Amal 100 Tahun Veteran dan Perasmian Penutupan Persidangan Perwakilan PVATM Negeri Sembilan Kali Ke-68 di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Katanya, oleh itu PVATM tidak pernah berhenti berjuang untuk mendapatkan penyelarasan pencen dan perkara itu dimaklumkan kepada kerajaan dari tahun 2014 tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang keputusan.
"Kita akan terus berjuang dan saya yakin cara perjuangan melalui rundingan, kefahaman dan tanggungjawab akan dapat dilaksanakan," katanya.
Menurut Sharuddin, seramai 170,000 ahli veteran berusia lebih 60 tahun dan kebanyakannya mengalami masalah kesihatan.
Tambahnya, dalam pada itu PVATM mempergiatkan usaha menjejaki pusara para pejuang yang terkorban dalam pertempuran.
"Pusara berkenaan akan dibaik pulih dan diletakkan 'tanda' sejarah perjuangannya sebagai penghormatan.
"Tahun ini kita sudah jejaki 15 pusara dan ada di antaranya dalam keadaan terbiar.
"Jadi, diletakkan tanda mengenai sejarah kehidupan dan perjuangannya. Sekurang-kurangnya apabila orang datang melawat kubur, mereka tahu itu kubur pejuang kita," katanya.