JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang dipercayai membunuh isteri dan bayinya di Bakar Batu pada Isnin, direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman bermula Selasa terhadap suspek berusia 25 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Nur Izzaty Muhammad Zahari di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Sebelum itu, suspek yang mengenakan baju lokap jingga tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi anggota polis pada jam 9 pagi.
Pada Isnin, suspek yang bekerja sebagai pencuci kapal dilaporkan berjaya ditahan polis di Permas Jaya kira-kira jam 2.45 petang selepas videonya menunggang motosikal dalam keadaan bogel tular di media sosial
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tangkapan terhadap suspek dibuat susulan laporan polis berhubung kejadian bunuh melibatkan seorang ibu berusia 26 tahun dan seorang bayi lelaki.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian bunuh itu dipercayai berlaku pada jam 12.30 tengah hari pada Isnin, di sebuah rumah di kawasan Bakar Batu.
"Polis turut merampas sebilah pemotong daging dan sebuah motosikal berwarna merah sewaktu suspek ditahan.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati," katanya.
Sementara itu, jenazah ibu dan bayinya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu sebelum solat Zohor.