Rakyat sambut baik tambahan BKM

Iklan

Golongan rentan, B4 harap bantuan kerajaan diteruskan

SHAH ALAM - Hampir 8.6 juta penerima manfaat Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) boleh menarik nafas lega apabila menerima bayaran bagi fasa dua termasuk tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bulan lalu.

Iklan
Iklan

Ketika berdepan cabaran kos sara hidup yang dihadapi ini, bayaran tunai yang diterima tentunya memberi nilai besar buat mereka yang merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas dan 3.4 juta individu bujang.

Ismail sebelum ini mengumumkan kerajaan mengambil keputusan menyalurkan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40, masing-masing RM100 bagi isi rumah dan RM50 untuk individu bujang.

Iklan

Setiap penerima bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing dengan bantuan tunai tambahan dibayar bersekali dalam bayaran Fasa 2, membabitkan peruntukan tambahan bernilai RM630 juta.

"Bayaran ini membabitkan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion. Ia juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40, terutamanya bagi menyambut Aidiladha tidak lama lagi dan akan disalurkan seperti dijadualkan.

Iklan

"Setakat ini, seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500, tahun ini."Bantuan ini adalah tertinggi yang pernah diberikan mana-mana kerajaan," katanya pada sidang media khas secara maya pada 22 Jun lalu.

Menurutnya, kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar.

BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.

Cadang e- Voucher

Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan bantuan tunai yang disalurkan kerajaan di bawah BKM wajar dan perlu terutamanya untuk golongan rentan dan B40.

DR. AHMED RAZMAN

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyarankan kaedah e-Voucher melalui applikasi MySejahtera boleh dilaksanakan bagi bantuan tunai pada masa akan datang.

Jelasnya, melalui applikasi itu juga kerajaan akan dapat memantau pola perbelanjaan rakyat dan lebih mudah untuk membuat keputusan dengan lebih tepat apabila ingin meneruskan atau tidak BKM.

"Saya berpendapat, pemberian bantuan ini diharap akan diteruskan secara berkala tetapi diberi melalui kaedah e-Voucher supaya ia dibelanjakan untuk barangan asas yang tertentu.

"Kaedah ini juga lebih selamat dan mampu mengelakkan berlakunya salah guna atau penyelewengan," katanya. BKM 2022

Pembayaran kepada permohonan BKM 2022 yang berstatus ‘Lulus’ dibayar secara one-off bersekali dengan bayaran Fasa 2 KM 2022 mulai 27 Jun 2022 secara berperingkat.

Jadual Bantuan Keluarga Malaysia.

REAKSI: PENERIMA BKM

MOHD AZRY

"Alhamdulillah, sebagai penerima bujang ada juga sedikit tambahan perbelanjaan. Sekarang ini rakyat memang berharap bantuan diteruskan sebab perbelanjaan semakin meningkat.” - Mohd Azry Faizzi Jamal, 30 (bekerja sendiri)

NORHIDAYAH

"Kami golongan B40 terbeban dengan komitmen bulanan, walaupun tidak membantu secara menyeluruh tetapi BKM mengurangkan sedikit bebanan. Boleh tampung keperluan sekolah anak-anak.” - Norhidayah Normadi, 34 (suri rumah)

NURUL KHAZIMAH

"Bantuan ini dapat ringankan beban belanja harian. Saya harap ia diteruskan kerana harga barang semakin naik. Dapatlah bantu rakyat seperti saya, anak tujuh orang dan hanya suami yang bekerja.” - Nurul Khamizah Mohammad Noor, 37 (suri rumah)

ROSLINA

"Bagi mereka yang mampu, jumlah tambahan iaitu RM100 dan RM50 mungkin kecil nilainya. Namun bagi penerima, ia memberi manfaat dan masih boleh dibelanjakan untuk keperluan tertentu.” - Roslina Md Saad, 36 (kakitangan kerajaan)

THARANI

"Bantuan BKM meringankan sedikit belanja harian. Saya juga guna untuk bayar duit pinjaman belajar. Teruskanlah bantuan ini sebagai tanda kerajaan prihatin kepada rakyat semasa krisis ekonomi.” - Tharani Tamill Saleven, 27 (pekerja swasta)