Verstappen nekad kembali bangkit di GP Austria

Iklan
Verstappen yakin pasukannya, Red Bull akan kembali melakar kejayaan di GP Austria hujung minggu ini. - foto AP

BIARPUN sekadar menamatkan Grand Prix (GP) F1 British pada kedudukan ketujuh pada Isnin, namun pemandu Red Bull, Max Verstappen berazam untuk kembali bangkit pada GP Austria hujung minggu ini.

Malah menurutnya, perlumbaan di Litar Red Bull Ring itu akan dimanfaatkan sebaiknya bagi menjamin kemenangan buat pasukan.

Iklan
Iklan

"Perlumbaan di Litar Silverstone tidak berlangsung dengan baik buat kami kali ini, tetapi kami akan bangkit di Litar Red Bull.

"Oleh itu, kami perlu kembali mencatatkan kemenangan pada GP Austria bagi menjarakkan semula kedudukan mata pada kejuaraan musim ini,” katanya.

Iklan

Untuk rekod, GP British hujung minggu lalu menyaksikan pemandu Ferrari, Carlos Sainz Jr muncul juara manakala pelumba Red Bull dari Mexico, Sergio Perez di tempat kedua dan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dari Mercedes terpaksa akur di tempat ketiga.

Kemenangan Sainz itu turut menyaksikan Ferrari kini berada pada kedudukan kedua dengan 265 mata di belakang Red Bull (328 mata).

Iklan

Sementara itu Verstappen yakin mampu melakukan yang terbaik pada perlumbaan hujung minggu ini kerana litar Red Bull Ring bukanlah asing baginya.

Verstappen berkata, dia begitu memahami selok belok litar berkenaan dan ia akan dimanfaatkan sebaiknya dalam usaha melakar kejayaan hujung minggu ini.

"Litar Red Bull Ring bukanlah asing buat kami setelah tiga kali mencatatkan kemenangan sebelum ini dengan kemenangan terbaru dicatatkan musim lalu (2021) selepas 2018 dan 2019 lalu.

"Oleh itu, kami yakin untuk terus mencatatkan kemenangan lagi hujung minggu ini,” katanya.