Hormati prinsip kebebasan badan kehakiman: Raja Perlis

Iklan
Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
KANGAR - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Selasa berkenan merasmikan Kompleks Mahkamah Kangar yang baharu dilengkapi dengan sistem dan kemudahan serba canggih dibina dengan kos RM39 juta.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut hadir.

Dalam titah ucapan perasmian itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang mengambil tanggungjawab dan inisiatif membina kompleks mahkamah baharu itu bagi menggantikan Mahkamah Kangar lama.

"Saya turut berasa gembira kerana perasmian dan pembukaan Kompleks Mahkamah Kangar yang baharu ini membuka suatu lagi lembaran dan sejarah baharu dalam pentadbiran sistem kehakiman negara ini dan akan menjadi mercu tanda baharu di Negeri Perlis ini.

"...dengan adanya Kompleks Mahkamah baharu yang besar dan selesa ini, saya percaya ia mampu meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kehakiman yang berkualiti kepada semua pihak khususnya kepada rakyat di negeri Perlis," titah baginda.

Kompleks mahkamah baharu setinggi tiga tingkat itu menempatkan sebuah Mahkamah Tinggi, dua Mahkamah Sesyen dan dua Mahkamah Majistret yang siap dibina pada 15 November tahun lepas.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah mengharapkan dengan terbinanya kompleks mahkamah baharu itu ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan lain di kawasan sekitar.

"Saya turut berharap agar perancangan pembangunan yang sudah dirancang di kawasan sekitar ini dapat memberikan imej baharu kepada Kangar dan secara tidak langsung meningkatkan lagi ekonomi rakyat Perlis," titah baginda.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, menyeru semua golongan masyarakat agar menghormati dan memelihara prinsip kebebasan badan kehakiman serta tidak membuat sebarang tuduhan melulu dan tidak berasas kepada hakim atau pegawai kehakiman.

"Saya yakin percaya bukan mudah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang hakim. Mereka perlu banyak bersabar dan berkorban masa dan tenaga. Setiap keputusan yang dibuat akan menjadi kayu pengukur kepada proses keadilan dan menjadi rujukan pada masa hadapan," titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menaruh harapan tinggi agar para hakim dan pegawai kehakiman sentiasa menjaga integriti dan etika pada setiap masa bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat sentiasa berpaksikan kepada keadilan dan kesaksamaan dan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Jika sesuatu keputusan itu dibuat berlandaskan undang-undang dan fakta yang betul, saya yakin sudah pasti keputusan tersebut dapat diterima baik oleh semua pihak," titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah mengajak seluruh jentera kerajaan termasuk penjawat awam, ahli politik, badan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam bersatu hati dalam usaha membasmi dan membendung masalah rasuah.

"Jika budaya ini tidak dihapuskan, ia akan merosakkan seluruh sistem pentadbiran dan masyarakat, baik dari segi politik, ekonomi dan sosial," titah baginda. - Bernama