BALING - Penduduk Kampung Iboi di Kupang di sini menyifatkan banjir kilat yang berlaku pada petang Isnin adalah yang terburuk dalam sejarah kampung mereka.
Penduduk, Mohd Kamal Tahak, 36, berkata, banjir itu turut menyebabkan jambatan batu di kampung mereka runtuh dan dihanyutkan arus selain jalan raya juga pecah dan rosak.
Katanya, rumah mereka yang dibina lebih tinggi dan terletak kira-kira 100 meter dari sungai turut dinaiki air.
"Rumah ini memang kami dah bina lebih tinggi iaitu tujuh meter dari tapak asal, tetapi banjir kali ini air naik sehingga ke lantai rumah.
"Bukan itu sahaja, jambatan batu di hadapan rumah kami turut runtuh dihanyutkan arus dan jalan raya pecah-pecah," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Mohd Kamal berkata, selama menetap di kampung berkenaan, mereka tidak pernah melalui pengalaman sedemikian sehingga mengorbankan nyawa penduduk.
"Sebelum ini kalau hujan lebat pun air naik sama paras dengan jambatan sahaja, tetapi kali ini paras air naik terlalu tinggi dan turut membawa turun kayu-kayu balak," katanya.
Menurutnya, ketika kejadian dia tidak berada di rumah dan bersyukur ahli keluarga sempat diselamatkan oleh jiran.
"Kedai kek isteri saya pun dihanyutkan arus, memang banyak yang rugi tapi alhamdulillah yang penting kami semua selamat," katanya.
Bagi Sopian Muhd Aziz, 53, penduduk kampung berhak untuk mengetahui punca kejadian tersebut kerana mereka tidak pernah melalui pengalaman buruk sebegitu.
"Saya penduduk jati kampung ini dan kejadian semalam memang yang paling buruk dalam sejarah kampung kami.
"Jadi saya harap pihak terlibat dapat menjelaskan punca berlaku banjir lumpur ini dan atasinya dengan segera supaya tidak berulang," katanya.
Sementara itu tinjauan Sinar Harian di pekan Kupang yang terletak lebih 10 kilometer dari Kampung Iboi turut meninggalkan kesan banjir lumpur.
Pemilik kedai, Tok Chui Lai, 48, berkata, sudah tiga tahun kawasan terbabit tidak dinaiki air banjir sejak mereka bersepakat membersihkan sungai berdekatan.
Katanya, jika berlaku banjir sekalipun air tidak naik tinggi sehingga menjejaskan barang jualan dalam kedai.
"Tetapi kejadian semalam yang berlaku kira-kira jam 8 malam sangat teruk, air datang secara tiba-tiba dan sangat laju.
"Dalam masa 15 minit sahaja air naik makin tinggi dan kami tak sempat menyelamatkan apa-apa barang pun," katanya.
Menurutnya, penduduk kampung di kawasan terjejas memerlukan bantuan tenaga untuk membersihkan rumah mereka yang dimasuki lumpur.
"Kami di pekan Kupang ini masih okey, sebab yang teruk itu di kampung-kampung dalam sana, jadi kalau ada NGO yang boleh datang bantu, boleh ringankan sikit beban mereka," katanya.
Ong Chong King, 70, pula berkata, ketika kejadian dia baru pulang ke kedai kira-kira jam 8 malam dan terus masuk ke bilik di belakang kedai untuk tidur.
"Ketika itu saya ingatkan air naik macam biasa sahaja, tetapi dalam jam 10 saya rasa basah, rupanya air sudah naik sampai ke katil saya tidur.
"Saya cepat-cepat keluar dari kedai dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa pun termasuk telefon bimbit yang dijual," katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati Kampung Iboi menjadi tumpuan orang ramai yang ingin melihat kesan bencana alam itu dengan lebih dekat.
Pelbagai agensi turut menghulurkan bantuan termasuk kerja-kerja membersihkan sisa kayu balak.