KUALA LUMPUR - Keinginan mengikuti trend memakai pendakap gigi untuk tampil lebih cantik berakhir tragedi hanya disebabkan keghairahan mendapatkan perkhidmatan pergigian tersebut pada harga rendah.
Menurut Nur Amira Afiqah, 24 tahun, beliau terjebak selepas rakan-rakan kolej mencadangkan 'klinik' yang menawarkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi pada harga serendah RM500, membuatkannya tidak berfikir panjang dan terus menempah temujanji.
"Tiga bulan pertama tiada masalah dan saya selalu hadir temujanji. Masa tu saya perasan gigi saya ada pergerakan jadi seronoklah. Tapi tiba-tiba saya terbaca di Twitter tentang klinik yang saya pergi itu klinik pergigian haram,” katanya kepada Bernama.
Demi mendapatkan kepastian, Nur Amira membuat pemeriksaan di klinik pergigian bertauliah dan ternyata giginya dalam keadaan yang teruk.
"Ada braket yang terbalik - yang kanan ada kat kiri, kat kiri ada kat kanan. Ada gigi terpusing. Boleh katakan teruk la gigi terpusing dan ada open bite,” jelas Nur Amirah.
Katanya lagi, lebih merunsingkan kebanyakan klinik pergigian enggan merawat dan memperbetulkan keadaan giginya.
"Saya ambil masa lima bulan pergi klinik ke klinik mencari doktor gigi yang berani nak ambik kes saya. Masa tu rasa bodohlah juga sebabkan nak cantik tapi tak fikir panjang walaupun tahu harga RM500 tu sebenarnya tak munasabah.
"Tapi saya tak sangka klinik pun boleh sediakan pendakap gigi palsu. Biasa kita dengar perkhidmatan semacam ini dijalankan di hotel, rumah ke rumah tapi ini di klinik yang serba lengkap,” kata Nur Amirah yang akhirnya menghabiskan hampir RM8,000 dan tiga tahun memperbetulkan kembali giginya.
Fesyen, simbol status remaja
Pensyarah dan Pakar Ortodontik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Nik Mukhriz Nik Mustapha berkata, isu pendakap gigi palsu pernah hangat pada tahun 2018, namun pada waktu itu belum ada kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Bila timbul kes Nara (seorang wanita yang menyediakan servis pendakap gigi palsu setelah mempelajari tekniknya di YouTube) dikenakan hukuman penjara dan denda puluhan ribu ringgit, isu pendakap gigi palsu semakin diuar-uarkan maka orang jadi semakin takut.
"Tetapi, pendakap gigi palsu ini masih ada permintaan kerana harganya murah. Itu yang menjadi tarikan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya, lagi golongan remaja antara yang mudah terjebak kerana cenderung terpengaruh dengan rakan sebaya.
"Banyak kawan-kawan yang pakai jadi dia pun rasa nak pakai kerana ia simbol fesyen. Ada sesetengah tengok pendakap gigi ini lambang kemewahan sebab hanya berduit sahaja mampu guna pendakap gigi.
"Kalau pergi dekat klinik yang benar dan bertauliah, harga rawatan pendakap gigi kebiasaannya sekitar RM6,000 hingga ke RM7,000. Jadi, pengguna pendakap gigi biasanya orang-orang yang berkemampuan,” kata Dr Mukhriz.
Harga murah tak masuk akal
Tinjauan Bernama mendapati terdapat lebih 10 akaun di laman sosial Instagram menawarkan pelbagai promosi pendakap gigi palsu dengan harga yang terlalu murah iaitu antara RM90 sehingga RM160.
Perkhidmatan pendakap gigi palsu itu juga tidak dijalankan di klinik, tetapi lazimnya di rumah, hotel mahupun salun kecantikan.
"Nak berlaku di klinik pergigian ini sangat susah sebab klinik kena berdaftar dulu dan jika tidak berdaftar, ia akan terus dikesan. Jadi yang claim buat di klinik itu sebenarnya pemasang pendakap gigi yang sekadar mengaku di klinik tapi bukan klinik sebenar dan bertauliah,” kata Dr Mukhriz.
Menurut Dr Mukhriz, orang ramai boleh melayari laman web Dental Practitioners Information Management System (DPIMS) untuk menyemak sama ada doktor tersebut berdaftar ataupun tidak.
"Pengguna boleh menaip nama doktor tersebut dan boleh semak terus sama ada doktor tersebut berdaftar ataupun tidak. Laman web DPIMS tersebut akan tunjuk doktor tersebut berkelayakan daripada mana,” katanya.
Kesan pendakap gigi palsu
Kesan utama akibat penggunaan pendakap gigi palsu yang paling digeruni adalah dari segi kawalan jangkitan semasa pemasangan pendakap gigi dan penggunaan peralatan yang bersih.
"Untuk pendakap gigi palsu ni, tiada alat yang dinyahkuman sebab alat itu mahal dan mereka bergilir-gilir antara satu pesakit ke satu pesakit yang lain.
"Bayangkan dari satu mulut ke satu mulut menggunakan alat yang sama, ia boleh mendedahkan pesakit itu kepada jangkitan-jangkitan penyakit,” katanya Dr Mukhriz.
Selain itu, penggunaan pendakap gigi palsu kebiasaannya tiada pemantauan berkala seperti yang selalu dilakukan jika membuat pendakap gigi yang betul di klinik.
"Di klinik gigi yang bertauliah biasanya kita akan nasihat dari segi cara pembersihan, kita akan pantau pemakai pendakap gigi secara berkala.
"Manakala yang pakai pendakap gigi palsu ini dia tiada pemantauan berkala jadi kalau makanan sangkut tak buang-buang sampai berbulan, dia akan jadi masalah pada gusi, gigi akan berlubang dan masalah kekeringan gusi. Semua bermula daripada kebersihan yang susah nak kawal tadi,” tambah Dr Mukhriz.
Dalam pada itu, terdapat kandungan toksik yang digunakan pendakap gigi palsu, berbeza dengan pendakap gigi di klinik bertauliah yang memperoleh bekalan daripada pembekal barangan yang didaftarkan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012.
Dapatkan rawatan yang betul
Dr Mukhriz menasihati pengguna untuk lebih peka dan mengambil berat tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan pendakap gigi.
"Perlu berhati-hati untuk memilih siapa yang pasangkan pendakap gigi itu. Sebagai pesakit sepatutnya melihat pendakap gigi itu sebagai rawatan perubatan, bukannya sebagai satu fesyen atau aksesori kerana ia dicipta untuk tujuan perubatan.
Dr Mukhriz juga mengingatkan agar pesakit mengambil berat tentang komplikasi berbanding tertarik dengan iklan-iklan yang dipamerkan di laman sosial Instagram. -- Bernama
p