[VIDEO] PM arah bantuan segera kepada mangsa banjir di Baling

Iklan
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus meninjau keadaan Sungai Latar Celak, Kupang yang dipenuhi timbunan kayu balak selepas dibawa arus deras. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pihak berkuasa berkaitan untuk segera membantu mangsa-mangsa banjir di Baling, Kedah.

Walaupun kini berada di Turkiye untuk lawatan rasmi, Ismail Sabri berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan bencana yang menimpa Keluarga Malaysia di Baling.

"Saya telah mengarahkan Setiausaha Politik, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus mewakili saya, turun ke kawasan bencana bagi meninjau dan memastikan bantuan disalurkan dengan secepatnya kepada mangsa.

Iklan
Iklan

"Kita meninjau keperluan segera yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Baling, dan bantuan harus segera disampaikan kepada mangsa walaupun saya berada di Turkiye," katanya dalam catatan di Facebook rasmi beliau pada Selasa.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus meninjau keadaan Sungai Latar Celak, Kupang yang dipenuhi timbunan kayu balak selepas dibawa arus deras. - Foto Bernama

Perdana Menteri turut berkongsi gambar dan video lawatan Mohammad Anuar di Baling hari ini dalam catatan itu.

Iklan

Ismail Sabri turut melahirkan rasa sedih dan simpati dengan bencana banjir itu yang mengakibatkan tiga nyawa terkorban setakat ini dan mendoakan semoga semua mangsa banjir tabah menghadapi dugaan itu.

"Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang, sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah dan didoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, banjir lumpur di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban, dan beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara dengan lebih 80 rumah terjejas. - Bernama