PUTRAJAYA - Fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca yang lebih panas dan kering di rantau ASEAN dijangka tidak berlaku.
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia adalah berdasarkan laporan Pusat Pakar Meteorologi ASEAN.
"Rantau ini akan berhadapan dengan suhu panas di atas paras normal sekitar Julai hingga Oktober depan," katanya dalam kenyataan pada Selasa mempengerusikan Mesyuarat Ke-23 Technical Working Group (TWG) dan Sub-Regional Ministerial Steering Commitee (MSC) berkaitan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan secara dalam talian selama dua hari berturut-turut.
Menurutnya, sejak tahun 2020 sehingga sekarang, tiada sebarang insiden jerebu merentas sempadan di selatan rantau ASEAN dilaporkan susulan cuaca yang agak lembab dan taburan hujan pada paras hampir normal.
"Walaupun begitu, semua negara MSC telah memberikan komitmen berterusan dalam mencegah dan menangani pembakaran terbuka khususnya melibatkan hutan, ladang dan tanah gambut yang menjadi punca utama jerebu merentas sempadan," katanya.
Negara MSC ASEAN adalah Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.
Beliau berkata, sejak tahun 2003, Jabatan Meteorologi Malaysia telah membekalkan maklumat amaran kebakaran hutan dan tanah gambut melalui Sistem Penilaian Bahaya Kebakaran kepada semua negara ASEAN.
"Inisiatif ini akan diteruskan dengan beberapa penambahbaikan termasuk produk baharu iaitu ramalan kebakaran, yang akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini," katanya.
Tuan Ibrahim berkata, pelbagai program, projek dan aktiviti berkaitan pencegahan kebakaran tanah gambut, pembangunan kapasiti negara MSC dan rantau ASEAN berkaitan pemantauan cuaca, titik panas, jerebu serta pemadaman kebakaran telah dirangka bagi memantapkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan cuaca luar jangka.
"Kerajaan sentiasa bersedia menghadapi cuaca panas luar jangka dengan mempertingkatkan usaha di peringkat nasional bagi mencegah pembakaran terbuka serta jerebu dalam negara yang boleh menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam," katanya.