JOHOR BAHRU - Bapa kepada mangsa kes kelar wanita dan bayinya di Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu di sini pada Isnin, tidak menyimpan dendam terhadap keluarga menantunya atas kejadian ngeri dan mengejutkan itu.
Rosman Ahmad, 58, berkata, selepas kejadian tersebut bapa suspek, Adam Abdullah, 55, berkali-kali memohon maaf terhadap perbuatan kejam anaknya.
Menurutnya yang bekerja sebagai tukang masak, ini kerana apa yang berlaku bukan di bawah kawalan menantunya itu.
"Semalam (Isnin) jumpa minta maaf, minta maaf, maafkan je la bukannya kita ini boleh menghakimi sesuatu benda yang tanpa kita tahu. Saya ada tanya la, ada masalah peribadi ke anak dia ni, dia kata memang tak ada. Tapi saya dapat tahu ada sedikit, dia ni sebelum ini kerja cuci bangunan di stadium Nusajaya.
"Dia berhenti sebab dapat projek cuci kapal di Desaru. Jadi kami yang berumur ini mungkin (berfikir), kawasan itu keras, tu yang dapat tahu mungkin apa yang berlaku pada dia iaitu apa yang dia buat pada anak saya ni bukan dia, ilusi dia, berfikiran lebih jernih lagi bukan dia mungkin gangguan," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan Pusat Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Selasa.
Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari Isnin, suspek yang berusia 24 tahun mengelar isterinya, Hajar Nurasyahirin Rosman, 26, dan bayinya, Hans Mohd Thakif Amir yang berusia tiga bulan.
Kedua-dua mangsa ditemui berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher di luar rumah pasangan tersebut di jalan tersebut.
Rosman berkata, sepatutnya suspek dan mangsa akan bersanding pada majlis resepsi pada 24 Julai selepas majlis nikah kakak mangsa sehari sebelum itu pada 23 Julai.
"Pasangan itu juga cuba sudah mencuba baju pengantin yang sepatutnya dipakai ketika majlis tersebut," katanya.