KUALA LUMPUR - Sebuah pusat karaoke dan kelab malam di Jinjang, Sentul, di sini, diserbu dalam serbuan berasingan awal pagi tadi.
Serbuan kira-kira jam 3.30 pagi dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, serbuan pertama di pusat karaoke, seramai 86 orang telah menjalani ujian saringan air kencing.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati 20 daripadanya dikesan positif dadah manakala 39 warganegara Indonesia ditangkap kerana memiliki pil ekstasi.
"Bagi serbuan kelab malam, ujian saringan air kencing terhadap 78 orang pengunjung mendapati 21 orang adalah positif dadah.
"Kesemua tangkapan ini kini ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kesalahan penyalahgunaan dadah serta memiliki barang terlarang itu," katanya.
Beliau berkata, keseluruhan tangkapan adalah seramai 80 orang membabitkan 57 lelaki serta 23 wanita.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.