SIBS rancang teroka industri elektrikal, elektronik

Iklan
Chang Khim

[DIKEMAS KINI] SIDANG Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) merancang untuk meneroka bidang elektrikal dan elektronik (E&E) bagi mengembangkan ekspo tersebut, sekali gus menembusi pasaran global.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, negeri tersebut sebelum ini memberikan fokus terhadap industri makanan dan minuman (F&B) menerusi Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) yang diadakan lapan tahun lalu.

Iklan
Iklan

Namun selepas penganjuran ekspo berkenaan, beliau berkata, pelbagai bidang lain turut diterokai dan sehingga kini terdapat enam bidang lain dihimpunkan di bawah SIBS.

Menurutnya, antara bidang tersebut ialah perubatan, bandar pintar, ekonomi digital dan sebagainya.

Iklan
Chang Khim

"Sebelum ini daripada industri F&B, kita luaskan kepada bidang perubatan.

"Diharap tidak lama lagi, kita boleh luaskan ekspo ini kepada bidang E&E termasuk tenaga solar, namun ia mengambil sedikit masa untuk kita teroka.

Iklan

"Namun buat masa ini, Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC2022) akan turut mempamerkan beberapa perkembangaan dalam bidang tersebut," katanya ketika sidang media pelancaran SIBS di Saujana Hotel, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Chang Khim berkata, SIBS turut dijangka dapat menembusi pasaran global bagi mengekalkan kedudukan Selangor sebagai pusat perdagangan pelaburan utama di Malaysia.

Sejajar dengan itu, pihaknya menyasarkan potensi jualan sebanyak RM350 juta pada penganjuran SIBS kali ini.

"Sejak lapan tahun penganjuran SIBS, kita berkembang kepada entiti yang lebih besar, kini mempunyai enam acara utama.

"Ini menunjukkan satu perkembangan yang menggalakkan dan itu strategi untuk mengadakan pelbagai ekspo. Sekarang kita gabungkan sebagai satu acara supaya semua perdagangan antarabangsa dapat dijalankan di Selangor.

"Dengan berkembangnya ekspo ini, maka kita mempunyai satu asas yang kukuh untuk terus berkembang dan mencapai matlamat negeri ini sebagai hub perdagangan antarabangsa," katanya.

Chang Khim (kiri) dan Hasan Azhari (dua dari kiri) melakukan ‘Flag off’ pada Majlis Pelancaran Selangor International Business Summit 2022 di Saujana Hotel pada Selasa. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

SIBS yang merupakan program perniagaan terbesar anjuran kerajaan Selangor menerusi Invest Selangor Bhd akan diadakan selama empat hari dari 6 hingga 9 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur.

Program tersebut akan menyaksikan sebanyak 850 gerai pameran dengan menyasarkan seramai sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung hadir pada tahun ini.

Chang Kim berkata, SIBS 2022 akan menampilkan acara utama seperti Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) Ke-8 dalam bidang penyediaan makan dan minuman (F&B) dan perubatan, Ekspo Taman Perindustrian Selangor ke-2 (Spark) dan Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor Ke-6,

Selain itu, terdapat juga Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) ke-7 serta Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Inovasi Selangor ke-3.