Felcra agih keuntungan RM153 juta

Iklan
Mahdzir (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM153 juta kepada wakil peserta di majlis penyerahan keuntungan boleh agih interim 1 Felcra Berhad di Kuala Nerang.

KUALA NERANG - Felcra Berhad mengumumkan bayaran keuntungan boleh agih interim 1 pada tahun ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan, iaitu RM153 juta untuk diagihkan kepada 75,800 pesertanya di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pencapaian itu merupakan kenaikan 106 peratus atau hampir RM79 juta berbanding tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bayaran keuntungan tersebut akan dilakukan bermula Selasa secara berperingkat kepada semua peserta Felcra di seluruh negara.

"Prestasi yang dicatatkan Felcra Berhad ini sangat membanggakan, saya sememangnya menggalakkan Felcra menjalankan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta lain agar dapat mengembangkan lagi perniagaan syarikat terutama dalam teknologi pertanian.

Iklan

"Ia disasarkan untuk meningkatkan lagi keuntungan operasi Felcra, seterusnya dapat memberikan pulangan pendapatan yang baik kepada seluruh peserta,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan replika cek kepada penerima-penerima di majlis penyerahan keuntungan boleh agih interim 1 Felcra Berhad di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Iklan

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, peningkatan prestasi keuntungan boleh agih tahun ini dipengaruhi oleh peningkatan harga komoditi sawit dan getah.

"Sehingga bulan April tahun ini, purata harga komoditi sawit adalah hampir RM1,200 iaitu kenaikan sebanyak RM550 atau lebih 79 peratus berbanding harga tahun lalu, iaitu RM670.

"Selain itu, berlaku kenaikan purata pendapatan ladang per hektar sebanyak RM4,900 atau hampir 57 peratus berbanding tahun lalu sekitar RM3,100,” katanya lagi.

Menurutnya, pencapaian utama Felcra antara lainnya berjaya menyatukan dan memulihkan tanah yang bermasalah menjadi sebuah ladang dan estet besar pada kos pengurusan minimum dan is harus dijadikan model kepada kawasan pertanian kecil lain di seluruh negara.

"Inisiatif penyatuan dan pemulihan tanah bermasalah yang dilaksanakan Felcra dengan kos pengurusan minimum hanya 6.5 peratus berjaya merealisasikan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat luar bandar,” ujarnya lagi.