PEMINAT badminton tanah air diminta tidak mengecam tindakan jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang menarik diri daripada bersaing pada Masters Malaysia 2022 yang membuka tirainya pada Selasa.
Sebaliknya, bekas pemain perseorangan negara, Ong Ewe Hock meminta mereka menghormati keputusan yang dibuat pemain yang kini berada di ranking kelima dunia itu.
Menurut Ewe Hock, dia percaya Zii Jia yang kini bergerak secara profesional mempunyai alasan tertentu dalam menentukan setiap kejohanan yang akan disertainya.
"Sebagai seorang pemain, saya rasa Zii Jia mungkin ada sebabnya yang tersendiri kenapa dia tarik diri daripada menyertai Kejohanan Masters Malaysia kali ini.
"Kita sebagai sebagai peminat badminton khususnya, kalau boleh jangan pertikai keputusan yang dibuat Zii Jia. Dia mesti tahu apa yang terbaik untuk dirinya.
"Mungkin ketika ini, dia mahu fokus untuk mempersiapkan diri pada Kejohanan Dunia nanti. Jadi biarlah Zii Jia tentukan apa yang terbaik dan kita terus beri sokongan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Zii Jia sah menarik diri daripada menyertai Masters Malaysia 2022 selepas namanya tidak berada dalam senarai pemain yang akan beraksi pada pusingan pertama.
Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan pihak Zii Jia setakat ini daripada menyertai kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super BWF 500 itu.
Selain Zii Jia, pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen yang baru menjuarai Terbuka Malaysia 2022 turut menarik diri atas alasan mahu berehat seketika.
Dalam pada itu, Ewe Hock berharap Zii Jia akan menggunakan baki tempoh kurang dua bulan ini untuk mempersiapkan diri sebaiknya menjelang Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo Ogos depan.
"Saya harap dengan keputusan Zii Jia menarik diri pada Masters Malaysia dan Sukan Komanwel, mampu untuk memberikan dia masa yang lebih untuk menghadapi Kejohanan Dunia nanti.
"Paling penting, saya berharap dia mampu mencipta keputusan positif di Tokyo kerana Kejohanan Dunia itu menjadi fokus utama Zii Jia ketika ini,” ujarnya.