PENGENDALI skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Hassan Sazali Mohad Waras menegaskan tindakannya tidak menurunkan beberapa pemain utama termasuk pemain yang kini beraksi dengan skuad B-17 Red Star Belgrade, Omar Raiyan Kama Azlan pada aksi sulung Kumpulan B berdepan Kemboja, Selasa lalu sebagai percaturannya bagi mengharungi kejuaraan berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan kepada format kejuaraan berkenaan yang dijalankan secara karnival, dia perlu melakukan penggiliran pemain dan tidak hanya menumpukan kepada pemain-pemain dalam kesebelasan utama semata-mata.
"Ini (Kejuaraan B-19 AFF) karnival. Oleh itu, saya perlu buat rotation (penggiliran). Tak boleh hanya tumpu untuk first eleven (kesebelasan utama).
"Namun, kita akan lihat pada perlawanan kedua nanti. Saya tak janji tetapi kita akan tengok nanti,” katanya pada Selasa.
Pada aksi sulung Kumpulan B di Stadium Madya Senayan, Selasa lalu, skuad skuad B-19 negara menewaskan Kemboja 2-1 hasil jaringan Najmuddin Akmal Kamal Akmal dan Haiqal Haqeemi Hairi sebelum pemain gantian Kemboja, Chanvibol Davit merapatkan jurang gol pada separuh masa kedua.
Berdasarkan jadual, skuad B-19 negara bakal berdepan Singapura pada aksi kedua Kumpulan B esok (Khamis) di venue sama.
Sementara itu Hassan Sazali berharap kesebelasan pemainnya dapat memberikan fokus untuk menyelesaikan aksi di peringkat kumpulan jika mahu mara lebih jauh pada Kejuaraan B-19 AFF, kali ini.
Katanya, biarpun berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Kemboja pada Selasa, kesebelasan Harimau Muda masih perlu berdepan Singapura, Timor Leste dan Laos bagi melepasi saingan bagi Kumpulan B, kali ini.
"Fokus kita adalah untuk selesaikan perlawanan di peringkat kumpulan dahulu dan bagi saya perkara itu lebih penting.
"Ini kerana, kita belum ‘melihat’ sejauh itu (mara ke separuh akhir). Lagipun bagi saya pemain sebenarnya masih belum dapat ‘rentak’ mereka.
"Bagaimanapun, diharapkan hasil kemenangan kali ini, pemain akan dapat mempamerkan persembahan lebih baik pada aksi seterusnya,” katanya.