Pochettino akui masih menanti tawaran

Iklan
Pochettino - Foto goal.com

BEKAS pengendali Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino mengakui dia masih tercari-cari hala tuju baharu setelah khidmatnya tidak lagi diperlukan gergasi Ligue 1 itu.

Menurut Pochettino, dia kini giat menghantar permohonan kepada beberapa kelab di Eropah dalam usaha meneruskan kariernya selaku seorang jurulatih bola sepak.

Iklan
Iklan

"Jujur saya katakan bahawa saya seolah-olah hilang hala tuju setelah dipecat oleh PSG baru-baru ini dan sehingga kini saya masih ternanti-nanti tawaran daripada mana-mana kelab yang mahukan khidmat saya.

"Bagaimanapun saya sedar, saya berdepan saingan yang cukup hebat daripada beberapa pengendali lain yang saya sifatkan jauh lebih hebat daripada saya ketika ini.

Iklan

"Apa pun, saya tidak akan patah semangat dan terus berharap agar ada kelab yang akan menawarkan kontrak kepada saya nanti,” katanya.

Untuk rekod, PSG memutuskan untuk menamatkan khidmat Pochettino setelah setahun setengah mengemudi skuad Les Parisiens itu dengan mencatatkan 55 kemenangan, seri 15 kali dan tewas 14 kali setelah mengharungi 84 perlawanan.

Iklan

Bagaimanapun kegagalan Pochettino untuk mengemudi PSG mara ke final Liga Juara-Juara musim ini apabila tewas kepada Real Madrid Mac lalu selain gagal memenangi sebarang gelaran domestic kecuali takhta Ligue 1 musim lalu membuatkan Presiden PSG, Nasser al-Khelaifie memutuskan untuk memecat pengendali berusia 50 tahun itu.

Pochettino yang dikhabarkan mahu mencuba nasib untuk kembali ke Tottenham Hotspur atau Manchester United mungkin tidak akan berjaya setelah kedua-dua kelab berkenaan dilihat sudah pun memiliki pengendali berwibawa seperti Antonio Conte (Spurs) dan Eric Ten Hag (United), musim depan.

Sementara itu, Nasser al-Khelaifie menegaskan pihaknya telah melantik Christopher Galtier bagi menggantikan Pochettino di Parc des Princes.

"Kita ucapkan selamat maju jaya kepada Pochettino dan pelantikan Galtier ini juga merupakan satu sejarah baharu buat PSG.

"Ini kerana dia (Galtier) merupakan pengendali Perancis pertama yang mengendalikan kelab ini sejak Laurent Blanc pada musim 2013 hingga 2016 lalu,” katanya.