Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Subramaniam

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Subramaniam yang meninggal dunia pada Selasa. - Foto Facebook Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Timbalan Presiden MIC, Tan Sri S Subramaniam yang meninggal dunia pada Selasa.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara pada Rabu, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Subramaniam dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Iklan
Iklan

"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada masyarakat dan negara dan juga menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada MIC dan negara," demikian menurut catatan itu.

Subramaniam, 78, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Damansara dan Segamat antara tahun 1974 hingga 2004, meninggal dunia malam Selasa di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor.

Iklan

Mendiang juga pernah memegang jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dalam arena politik, Subramaniam mula menjadi ahli MIC pada tahun 1962 dan pernah menyandang jawatan sebagai setiausaha agung, naib presiden dan timbalan presiden. - Bernama

Iklan