SEREMBAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan 23 kertas undi pos bagi PRK DUN Rantau.
Pengerusinya Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan berkata pengeluaran tersebut dijalankan Petugas Pilihan Raya di Bilik Orkid, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban meliputi beberapa kategori undi pos.
Katanya kategori itu termasuk Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara iaitu penjawat awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangannya serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangannya di India, Rusia dan Singapura yang membabitkan seramai empat pengundi.
"Manakala seramai 19 orang pengundi yang terdiri daripada 11 orang petugas pilihan raya dan lapan orang anggota tentera (Borang 1A)," katanya.
Bagaimanapun katanya tiada permohonan diterima bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan).
Azhar Azizan berkata proses pengeluaran kertas undi pos itu turut dijalankan dengan kehadiran wakil-wakil calon daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selain disiarkan secara langsung melalui Facebook SPR bagi menunjukkan kepada orang ramai bahawa ia dijalankan secara telus dan adil.
"Pemerhati daripada Institut Darul Ehsan, Pertubuhan Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia, Malaysia For Free And Fair Elections (MAFREL) dan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) turut hadir ke sesi tersebut," katanya.
Sehubungan itu SPR katanya mengingatkan semua pengundi pos agar menanda kertas undi yang diterima dengan betul dan segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus PRK DUN N.27 Rantau sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 13 April ini.
Katanya, pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial dan sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya. -Bernama