Telok Bakong: Perak sedia iktiraf lokasi penggambaran Mat Kilau

Iklan
Padang Koba Telok Bakong dekat Bota yang menjadi lokasi penggambaran filem Mat Kilau. - Foto FB Komuniti Kampung Telok Bakong. (Gambar kecil) Nolee Ashilin Kedudukan Padang Koba Telok Bakong yang dijadikan lokasi pengambaran filem Mat Kilau.

IPOH - Kerajaan Perak sedia mengiktiraf Padang Koba Telok Bakong dekat Bota yang menjadi lokasi penggambaran filem Mat Kilau sebagai satu lagi destinasi tarikan pelancongan negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pengiktirafan terhadap kawasan itu adalah cadangan yang baik memandangkan negeri ini mempunyai banyak lokasi menarik untuk dijadikan penggambaran filem.

Iklan
Iklan

"Setakat ini kita belum lakukan apa-apa lagi untuk kekalkan lokasi penggambaran tersebut kerana saya difahamkan di situ bukanlah set kekal.

"Begitupun satu cadangan yang baik untuk kita kekalkannya sebagai destinasi popular dalam perfileman.

Iklan

"Kita akan lihat semula cadangan berkenaan untuk diteliti sebaiknya," katanya kepada pemberita sempena sidang akhbar program Apresiasi Seni Budaya dan Warisan Negeri Perak di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak di sini pada Rabu.

Selain filem Mat Kilau, Padang Koba Telok Bakong sebelum ini pernah dijadikan lokasi penggambaran drama bersiri epik Kota Setia pada tahun 1996.

Iklan

Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata, sejak 2016 lagi di bawah Perak Film Office (PFO), kerajaan negeri telah menyediakan ruang membantu pengusaha-pengusaha filem mencari lokasi penggambaran yang bersesuaian dengan kehendak mereka.

Katanya, langkah itu berjaya memperkenalkan banyak lokasi-lokasi menarik di Perak termasuklah Kapal Korek Warisan Negara iaitu Tanjung Tualang Nombor 5 (TT5) yang telah dilakukan beberapa siri penggambaran di situ.

"Kita ada banyak lokasi yang agak berlainan untuk disesuaikan dalam perfileman kerana itu negeri ini kerap jadi pilihan produser filem.

"Kedudukan negeri ini yang dekat dengan Kuala Lumpur memudahkan mereka untuk kerap datang," katanya.

Selain Perak, Mat Kilau turut menjalani penggambaran di beberapa lokasi iaitu Pahang, Melaka dan Selangor.

Sejak mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 23 Jun lalu, Mat Kilau yang mencetus fenomena dalam kalangan penggemar filem tempatan telah mencecah kutipan tiket RM47 juta.

Filem terbitan Studio Kembara arahan Syamsul Yusof itu menampilkan pelakon-pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, A Galak, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon dari seberang yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian.