Himpunan Suhakam: Tak wajar pertikai kehadiran PM

Iklan
Anwar ketika berucap pada perasmian penutup Konvensyen PH Kedah.
ALOR SETAR - Perhimpunan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bukan untuk bersaing dengan perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, oleh itu tidak wajar untuk mana-mana pihak mempertikai kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan itu kelak.

Menurutnya, ini kerana jemputan kepada Pengerusi PH itu dilakukan lebih awal berbanding permohonan mengadakan himpunan bantah ICERD anjuran Pas dan Umno.

"Suhakam hantar jemputan dan Mahathir setuju hadir, ia sudah lama diputuskan. Kehadiran beliau sebagai menerima undangan program Suhakam, bukan untuk bersaing dengan pihak lain,” katanya, pada sidang media, selepas Konvensyen PH Kedah, di Seri Mentaloon.

Hadir sama, Pengerusi PH Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Anwar berkata, tuduhan kehadiran Mahathir boleh mengundang persepsi negatif juga tidak relevan.

Mengulas sama ada beliau akan hadir pada perhimpunan membantah ICERD, katanya, beliau terikat pada komitmen lain dan tidak akan hadir.

"Kebetulan ada majlis dan mesyuarat,” katanya.

Dr Mahathir dijangka akan menyampaikan ucaptama pada sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suhakam di Padang Timur, Petaling Jaya, Ahad ini.

Himpunan bertemakan ‘Memperjuangkan Hak Asasi Manusia’ atau #StandUp4HumanRights itu pada mulanya dijadualkan diadakan esok, serentak dengan himpunan bantah ICERD.

Namun Ketua Polis Negara mengarahkan supaya menangguhkan sambutan atas faktor risiko keselamatan.