KOTA BHARU – Kerajaan harus merombak, mengubah dan mereka bentuk kembali sistem pengajian tinggi negara bagi menyelesaikan permasalahan lambakan graduan.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor berkata, ekonomi Malaysia kini lebih 50 peratus adalah sektor perkhidmatan, tetapi sistem pengajian tinggi negara masih berjalan umpama tahun 80an dan 90an iaitu sektor pembuatan menjadi yang utama.
"Oleh yang demikian, program-program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum ini seperti MyHE4.0, 2u2i, CEO Faculty, Learn and Earn adalah bertujuan untuk secara beransur-ansur membentuk minda pensyarah dan pelajar dari universiti menghasilkan pekerja semata-mata kepada pencipta kerajaan.
"GPMS mahu melihat sistem pengajian tinggi yang menghasilkan ‘Pencipta Pekerjaan’ dipacu oleh keusahawanan dan teknologi terkini. Sudah pasti sekiranya kerajaan berjaya, ia juga dapat menyelesaikan permasalahan bilangan pekerjaan (permintaan),” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, analogi mudah ialah permintaan (pekerjaan) sedikit, bekalan (graduan) ramai, maka prinsip ekonominya sangat mudah, sudah tentu gaji akan menjadi rendah kerana bagi pandangan graduan 'janji ada kerja', mereka sanggup terima gaji yang rendah.
Beliau juga memberitahu, bagi majikan, mereka gunakan peluang ini untuk merendahkan kos operasi dengan menawarkan gaji yang rendah kerana lambakan graduan.
"Kerajaan melalui Badan Berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad sudah mula meningkatkan kadar gaji pekerja melalui peningkatan kadar peratusan keuntungan syarikat untuk diberikan kepada pekerja.
"Kerajaan tidak perlu ambil banyak dividen dari Khazanah. Gunakan keuntungan untuk meningkatkan gaji pekerja di GLC sekali gus akan menekan syarikat swasta yang lain untuk menaikkan tawaran gaji mereka agar mereka tidak ketinggalan di dalam perebutan bakat-bakat yang keluar saban tahun dari universiti.
"GPMS mendesak agar perkara ini diambil serius kerana kita tidak mahu graduan-graduan ini beralih ke ‘Black Economy’. Ia amat berbahaya tetapi apakan daya, mereka harus mencari wang demi menyara keluarga, membayar hutang PTPTN dan komitmen-komitmen lain.
"GPMS tidak mahu melihat bakat-bakat khususnya bakat Melayu dipersiakan. Tindakan radikal dan drastik harus diambil oleh pihak kerajaan agar isu ini dapat ditangani segera dan memberikan manfaat kepada graduan-graduan universiti,” katanya.