Selangor teruskan Mega Job Fair September depan

Iklan
Program Selangor Mega Job Fair 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA pada Jun lalu berjaya menarik kehadiran 8,201 calon yang sedang mencari pekerjaan.

SHAH ALAM - Program Selangor Mega Job Fair 2022 yang berlangsung pada 11 Jun dan 12 Jun lalu di Pusat Konvensyen MBSA di sini berjaya menarik kehadiran 8,201 calon yang sedang mencari pekerjaan.

Exco Generasi Muda, Sukan Dan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, daripada jumlah itu, 1,996 daripadanya telah diterima kerja manakala 3,601 lagi calon berjaya menjalani temu duga kali kedua.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program sama akan diteruskan pada September depan bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dalam usaha mengekalkan kadar pengangguran di bawah empat peratus.

"Program Selangor Mega Job Fair yang akan diadakan nanti bakal melibatkan penyertaan lebih 200 syarikat yang memfokuskan sektor perhotelan, industri sukan dan peluang kerjaya untuk orang kurang upaya (OKU).

Iklan

"Diharapkan rakyat Selangor, khususnya golongan belia dapat mengambil peluang ini dengan mendaftar di www.selangorjobportal.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pekerjaan yang ditawarkan untuk bersama-sama memenuhi dan meningkatkan peluang tenaga kerja di Selangor," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Penganjuran Selangor Mega Job Fair Jun lalu menawarkan lebih 20,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dengan lebih 100 majikan syarikat turut serta dalam pameran kerja itu.

Iklan

Antara 100 majikan itu adalah Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB, Hicom Berhad, Giant Malaysia, Malayan Banking Berhad dan Media Prima Digital.