KUALA NERANG - Sijil Peperiksaan bersepadu (UEC) yang dikritik hari ini tidak menjadi masalah sekiranya perlaksanaan bahasa kebangsaan diperhebat dan diperkemaskan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berpendirian bahasa kebangsaan perlu diperkasakan lagi dan isu UEC tidak timbul jika perkara tersebut diberi penekanan oleh pihak bertanggunggungjawab.
"Maknanya bukan masalah aliran Arab, Inggeris ataupun Cina, soalnya apakah bahasa itu dimartabatkan dan berapakah pelajaran asas seperti Sejarah Malaysia dimasukkan.
"Masalah ini saya serah kepada pihak bertanggungjawab dan terserah kepada Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik untuk diteliti," katanya pada sidang media selepas Program Majlis dialog bersama penoreh getah seluruh Padang Terap di Pengkalan Tok Mas, Mukim Pedu, dekat sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels.
Semalam, Peguam Negara, Tommy Thomas dalam kenyataan berkata, Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula pada 1 Januari 2021.
Keputusan berkenaan disambut baik oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau akan membawa masalah yang dihadapi oleh penoreh getah ke sidang Parlimen untuk dibahaskan dan diberi perhatian.
Ahli Parlimen Port Dickson itu mengakui penoreh getah adalah antara golongan yang perlu dibantu kerana bergantung kepada harga susu getah serendah RM2.50 sekilogram hari ini.